Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan, beliau lebih gemar jika berada di tempat Manchester City dalam perebutan Liga Perdana England musim ini.
Atas kertas, The Blues yang mengutip 66 mata memiliki kelebihan tujuh mata di depan The Citizens.
Begitupun, skuad kendalian Manuel Pellegrini itu masih tidak beraksi tiga perlawanan berbanding Chelsea yang telah bermain sebanyak 29 perlawanan.
Awal pagi semalam, The Blues berjaya menundukkan musuh tradisi, Tottenham Hotspur menerusi kemenangan bergaya 4-0 di Stadium Stamford Bridge.
Kini, Mourinho mendakwa City memiliki kelebihan untuk menjadi juara baharu Liga Perdana England musim ini.
"Saya lebih suka jika berada di tempat mereka. Jika mereka berjaya memenangi baki perlawanan liga, ia bermakna City adalah pendahulu liga.
"Jika City berjaya memenangi 12 perlawanan (akan datang), mereka sudah ditabalkan sebagai juara. Kini, mereka sendiri yang menentukan takdir mereka.
"Jadi, saya juga lebih gemar menentukan takdir diri sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.
"Kini, perebutan Liga Perdana England bukan bergantung kepada kami, sebaliknya tumpuan itu terarah kepada City," katanya.
No comments: