PAMERAN Seni Ikonik Datuk Siti Nurhaliza di Galeri Artelier, Publika, Kuala Lumpur yang dilancarkan baru-baru ini memberi makna yang tersendiri kepada penyanyi nombor satu negara itu.
Apa tidaknya, seramai 17 pelukis tempatan dan luar negara terbabit mempamerkan karya wajah figura terkenal itu dengan menggunakan pelbagai teknik dan medium yang berbeza.
Menurut rakan niaga Galeri Artelier, Ahmad Khairo Othman, projek tersebut telah bermula sejak sebulan yang lalu apabila pihaknya telah mengenal pasti pelukis-pelukis berbakat yang mempunyai pendekatan seni yang berlainan.
“Antara pelukis yang terbabit termasuk Andrian Torres , Sabihis Md. Pandi, Syafiq Nordin dan E.M Nightwatcher,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran tersebut yang turut dihadiri oleh Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Bagi Sabihis Md. Pandi, 26, dia mendapat ilham untuk menghasilkan karyanya selepas mendengar muzik rock.
Lukisan yang bertajuk The Siti itu, digambarkan seperti kulit album Siti Nurhaliza versi rock dengan wajah penyanyi tersebut diletakkan di bahagian tengah lukisan sambil dikelilingi bentuk bulatan dan segi tiga.
“Lukisan ini cuba menggambarkan kulit album Siti Nurhaliza sekiranya beliau menghasilkan sebuah album rock pada masa hadapan.
“Saya cuba membuat sebuah lukisan yang di luar pemikiran kerana kita tahu penyanyi tersebut belum pernah menghasilkan album berkonsep rock sebelum ini,” katanya mengenai lukisan yang menggunakan teknik cetakan kayu atas kanvas itu.
Menurut pemenang anugerah Media, Entertainment & Arts Alliance 2013 berkenaan, ini merupakan kali pertama dia menghasilkan sebuah lukisan berdasarkan wajah Siti Nurhaliza.
No comments: