Siasatan kini dilakukan ke atas lima landasan lapangan terbang yang ditemui dalam perisian program simulator Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil mereka di rumahnya, di Shah Alam, Sabtu lalu.
Siasatan ke atas maklumat dan data penerbangan simulator yang dikendalikan Zaharie paling penting, selain rekod penerbangan dengan MAS, menurut sumber, lapor Berita Harian.
"Antara perisian yang diperiksa setakat ini lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, sebuah lapangan terbang Amerika Syarikat (Diego Garcia) serta tiga lagi landasan India dan Sri Lanka, semuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter.
"Meskipun kelmarin Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin menafikan MH370 mendarat di Diego Garcia, siasatan tetap dibuat kerana ia berpandukan data perisian simulator penerbangan Zaharie," menurut sumber itu lagi.
Tambah sumber tersebut, seperti dilaporkan harian itu, siasatan itu bagi mencari petunjuk kemungkinan juruterbang mendaratkan pesawat di landasan yang dipelajarinya dalam simulator itu.
Selain lokasi pendaratan, siasatan menggunakan bantuan pakar perisian simulator dilakukan ke atas mod kawalan penerbangan dengan cuaca semasa, arah angin, kelajuan mengemudi pesawat dan cara mengelak pesawat dikesan.
"Itu sebahagian daripada elemen siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi mendapatkan sebarang petunjuk yang boleh membantu mengesan kedudukan pesawat B777-200 itu.
"Faktor kemungkinan pesawat mendarat di landasan yang kawalannya mungkin longgar tidak diketepikan, selain teori pesawat mendarat atas laut, bukit atau kawasan lapang yang sesuai," katanya
Sumber M-K
No comments: