Bursa Malaysia mengejutkan pasaran dan penganalisis apabila membuka tirai 2017 dengan kedudukan yang lemah pada hari pertama dagangan tahun ini dengan momentum lembap diburukkan lagi igauan buruk berulang apabila ringgit mencapai paras terendah sejak 1998.
Ringgit berdepan tekanan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila susut ke paras RM4.4932 satu dolar, paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998.
Pada 9.48 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menjunam 9.53 mata kepada 1,632.20 berbanding paras penutupnya Jumaat lalu kepada 1,641.73 atau hari terakhir dagangan ditutup untuk tahun 2016.
Bahkan petanda awal kelemahan pasaran itu sudah jelas kelihatan seawal dagangan dibuka 4.79 mata lebih lemah kepada 1,636.94 sebelum meneruskan penurunan yang mendadak.
Secara keseluruhannya sentimen rugi mengatasi untung dengan 182 mengatasi 168, dengan 211 kaunter tidak berubah, 1,167 kaunter tidak didagangkan dan 21 kaunter digantung.
Pendapatan berada pada 250.54 juta saham bernilai RM92.13 juta.
Terus menjunam
Bursa Malaysia kemudian meneruskan trend menurun pada tengah hari berikutan sokongan belian yang lemah untuk saham wajaran tinggi pada hari pertama dagangan 2017, walaupun harga minyak meningkat, kata peniaga.
Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 9.76 mata lebih rendah kepada 1,631.17 berbanding 1,641.73 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks barometer dibuka 4.79 mata lebih lemah kepada 1,636.94 dan bergerak di antara 1,630.77 dan 1,637.56 ketika sesi pagi.
Bursa tempatan itu ditutup pada Isnin sempena sambutan Tahun Baru yang jatuh pada Ahad.
Harga minyak meningkat selepas perjanjian bersejarah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum bagi mengurangkan pengeluaran yang berkuatkuasa pada 1 Januari.
Minyak mentah AS meningkat 0.7 peratus kepada US$54.07 setong manakala minyak mentah penanda aras Brent naik kepada US$57.18.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 316 berbanding 300 manakala 314 kaunter tidak berubah, 798 tidak diniaga dan 21 lagi digantung.
Jumlah dagangan berada pada 788.38 juta saham bernilai RM339.57 juta.
Di kalangan saham wajaran tinggi, Maybank jatuh 20 sen kepada RM8, Axiata susut 19 sen kepada RM4.53, Tenaga merosot 14 sen kepada RM13.76, Hong Leong turun 16 sen kepada RM13.34 dan Genting Bhd berkurang sembilan sen kepada RM7.91.
Sementara itu, Petronas Dagangan dan Petronas Gas tidak berubah masing-masing pada RM23.80 dan RM21.30. Antara saham aktif, Sumatec dan saham warannya, menokok satu sen tiap satu masing-masing kepada 8.5 sen dan lima sen, Hibiscus Petroleum menambah 1.5 sen kepada 42.5 sen.
Bagaimanapun, Borneo Oil rugi setengah sen kepada RM1.75 manakala Perisai Petroleum tidak berubah pada 8.5 sen.
Di kalangan saham rugi, Dutch Lady susut RM1.04 kepada RM54.52, BAT jatuh 60 sen kepada RM44, Naim Holdings merosot 30 sen kepada RM1.6 dan MSM rugi 20 sen kepada RM4.85.
Indeks Emas FBM jatuh 46.83 mata kepada 11,419.71, Indeks FBMT100 turun 49.78 mata kepada 11,139.31, Indeks Syariah Emas FBM susut 32.65 mata kepada 11,981.77 dan FBM Ace berkurang 6.31 mata kepada 4,774.4.
Bagaimanapun, FBM 70 meningkat 6.18 mata kepada 13,041.29.
Dari segi sektor, Indeks Kewangan menguncup 104.02 mata kepada 14,278.63, Indeks Perladangan jatuh 3.15 mata kepada 7,745.56 dan Indeks Perusahaan merosot 4.89 mata kepada 3,117.60.




No comments: