» » Proton Persona baharu 2016 lebih menawan dan elegan


Kebiasaannya orang ramai walaupun tidak semua, pasti memandang sinis terhadap setiap model keluaran Proton walaupun syarikat automotif nasional itu membina kenderaan terbaik dengan harga berpatutan.

Penulis sendiri memandu kenderaan berlogo ‘kepala harimau’ ini dan walaupun kerap disindir, dengan skala penyelenggaraan yang betul, jentera keluaran Proton milik penulis ini tidak pernah meragam.

Baru-baru ini, penulis bersama beberapa rakan media diberi peluang memandu uji model terbaharu Proton Persona versi Premium bermula dari Pusat Kecemerlangan (COE) Proton di Shah Alam, Selangor ke Kuantan, Pahang sejauh 297 kilometer (km) dengan keadaan laluan berbeza.

Dari segi luaran, model generasi kedua dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed di Setia Convention Centre Shah Alam pada 21 Ogos lalu, jelas menunjukkan perbezaan ketara berbanding model pertama dilancarkan sembilan tahun lalu yang mewarisi rupa Proton Gen 2.


Ciri luarannya 100 peratus berubah dan ini menbuktikan Proton sentiasa komited untuk ‘melahirkan’ jentera yang mengikuti peredaran zaman tetapi berbaloi untuk dimiliki.

Alur sisi yang jelas bermula dari hadapan sehingga ke perumah lampu belakang jelas menunjukkan susuk tubuhnya yang maskulin.

Rekaan lampu depannya juga berbentuk bujur dan tirus di hujung dipadankan dengan sepasang perumah lampu kabus menjadikan model ini sukar dibezakan dengan model segmen B keluaran Jepun.

Cuma logo Proton dan garisan krom yang panjang di hadapan membolehkan orang ramai mengenali asal usul jentera ini.

Begitu juga perumah lampu belakang yang turut diberi nafas baharu dengan rekaan lebih moden dan segar. Kini, lampu kabus belakang adalah ciri standard bagi semua model keluaran Proton.

Menjengah ke ruang kabin, balutan kerusi kulit menambah nilai eksklusif model ini manakala susun atur setiap tombol direka dengan penuh teliti bagi memudahkan tangan mencapai butang dikehendaki tanpa melepaskan pandangan hadapan ketika memandu.

Tempat duduk dan susun atur setiap konsol direka secara teliti demi memastikan perjalanan pemandu dan penumpang lebih selesa.

Ruang bagasinya pula masih terbaik dalam kelasnya apabila menawarkan ruang bagasi seluas 510 liter tanpa menjejaskan kabin penumpang.

Paling menarik, Persona baru ini dilengkapi dua soket kabel USB di konsul tengah dan pemilik Proton kini tidak perlu lagi membawa ‘power bank’ ke hulu ke hilir yang berat untuk mengecaj telefon bimbit atau gajet mereka.


Model Persona baharu ini dilengkapi enjin 1.6L VVT yang menghamburkan 107 kuasa kuda (hp) dengan kuasa kilas 150Nm, digabungkan bersama transmisi automatik CVT.

Transmisi manual lima kelajuan turut ditawarkan kepada mereka yang gemarkan pemanduan lebih agresif.

Aspek keselamatan pula dipadankan beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) adalah ciri standard terhadap semua empat varian yang ditawarkan.

Dengan penarafan lima bintang ASEAN NCAP terhadap semua varian, Persona juga menyediakan ciri keselamatan aktif dan pasif secara menyeluruh antaranya Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Brek (BA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan ISOFIX.

Bagi versi Premium, enam beg udara bagi memastikan perlindungan optimum untuk pemandu dan penumpang.

Dalam sesi pandu uji itu, media memulakan perjalanan dengan mengharungi kesesakan jalan raya di Subang Jaya sebelum memasuki Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), jentera ini masih belum diuji dan dianggap sebagai sesi ‘pemanas badan’ sebelum melepasi tol Gombak di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.

Sebaik pedal minyak ditekan, kuasa kilas memainkan fungsinya untuk mendaki setiap laluan berbukit yang berliku tanpa sebarang masalah.

Sistem ESC memainkan peranannya apabila kenderaan bergerak stabil manakala CVT memastikan perjalanan lebih lancar.

Memasuki Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1), kuasa enjin mula dikerah sehingga ke tahap maksimum dan ternyata tidak mengecewakan.

Faktor bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) adalah setanding jenama model import atau mungkin lebih baik. Media kemudian singgah ke Pusat Orang Kurang Upaya (OKU) di FELDA Jengka 19, Pahang, untuk menyerahkan sedikit sumbangan kepada penghuni sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Kali ini, setiap kenderaan diwajibkan mengharungi pertandingan ‘Eco Challenge’ bertujuan menguji tahap minimum penggunaan bahan api.

Semua pemandu perlu melalui laluan ditetapkan antaranya lebuh raya, jalan biasa dan mengharungi kesesakan di bandar Kuantan. Memang menguji kesabaran.

Penulis bersama seorang lagi rakan media berjaya mencatatkan penggunaan minyak sebanyak 5.4 liter bagi setiap 100km dengan purata kelajuan sekitar 71km/j, catatan terendah bagi semua wakil media yang menyertai pandu uji kali ini.

Video Proton Persona 2016



Proton Persona baru ini dibangunkan dengan teliti tanpa berkompromi terhadap keselesaan, keselamatan, penjimatan bahan api, nilai wang dan moden tetapi pada masa sama, keseronokan pemanduan tidak pernah diabaikan.

Bak kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, model Persona direka dengan mementingkan segmen muda dan pintar serta dibina bagi mereka yang mahukan jentera bergaya dengan ciri menarik selain memberikan pemanduan menyeronokkan, namun pada harga berpatutan serta penarafan keselamatan tertinggi.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .