» » » Pesakit mental perlu dipastikan ambil ubat secara berterusan


Pesakit mental perlu dipastikan mengambil ubat mengikut jadual dan dos ditetapkan bagi mengelak mereka daripada bertindak ganas di luar kawalan.

Demikian nasihat Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari kepada pihak tertentu terutama keluarga pesakit berkenaan.

Dr Muhammad Muhsin berkata, kebanyakan pesakit mental di negara ini menepati temu janji dengan doktor namun tidak mematuhi jadual pemakanan ubat.

"Pengambilan ubat perlu mengikut ditetapkan doktor yang meliputi jenis ubat, kuantiti, dan waktu," katanya

Namun Dr Muhammad Muhsin berkata isu utama yang sering berlaku ialah apabila keluarga tidak mengawasi dan menyelia pengambilan ubat oleh ahli keluarga pesakit mental.

"Harus diingat kesan apabila mereka tidak mengambil ubat ini bukannya dalam tempoh pendek, namun jangka masa panjang iaitu apabila mereka mula bertindak ganas seperti membunuh dan mencederakan orang," katanya.

Beliau memberikan nasihat itu ekoran beberapa kejadian tragis menyebabkan kecederaan dan kematian oleh pesakit mental dalam keluarga sendiri yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Semalam, seorang lelaki pesakit mental membunuh ibu saudara dan adik lelakinya yang lumpuh di Kampung Lanai, Kupang, Baling.

Ogos lalu, seorang nenek dipenggal kepalanya oleh cucunya yang juga pesakit mental di Felda Penggeli Timur, Kota Tinggi Johor, dan dua bulan sebelum itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dikelar bapanya yang mengalami kemurungan di Kampung Tengah, Kodiang, Kedah.

Dr Muhammad Muhsin turut menasihatkan keluarga agar tidak terlalu bertoleransi terhadap pesakit mental dengan tidak membawa mereka berjumpa doktor, sebaliknya mengurung mereka di dalam rumah.

"Malah ada yang membawa pesakit menjalani rawatan alternatif seperti berjumpa bomoh, dan menganggap pesakit diganggu makhluk halus serta mempunyai saka," katanya.

Sekiranya melihat tanda-tanda seperti perubahan kelakuan atau kemurungan pada ahli keluarga, katanya keluarga perlu segera membawa berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan sewajarnya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .