» » » Kambing dicuri dan disumbat dalam Myvi


Cubaan sekumpulan tujuh lelaki untuk mencuri lima ekor kambing dengan menyumbatnya ke dalam kereta Perodua Myvi gagal selepas mereka diberkas polis di Batu 3, Jalan Tanjung Tualang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, pemilik kandang kambing terbabit dimaklumkan rakannya terdapat individu menceroboh kandang berkenaan.

Pemilik berusia 25 tahun itu bersama seorang rakan lain segera ke tempat kejadian dan mendapati dua rakannya sedang bergelut dengan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam cubaan mencuri kambing.

Mereka kemudiannya membuat pemeriksaan dan menemui lima ekor kambing di tempat duduk belakang kereta terbabit serta bertindak memaklumkan kepada polis berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, siasatan yang dijalankan ke atas suspek terbabit membawa kepada penangkapan enam lagi rakan mereka di sekitar kawasan berhampiran.

Menurutnya, antara jam 7 hingga 7.30 pagi, pihaknya menahan tiga lelaki di sekitar kandang kambing tersebut dan tiga orang di rumah mereka di Gopeng termasuk seorang pelajar tingkatan lima.

“Bagaimanapun, pelajar tingkatan lima terbabit dilepaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapannya direkodkan,” katanya.

Katanya, pihaknya menemui dua motosikal serta kereta Perodua Myvi dipercayai milik suspek di lokasi kejadian.

“Kesemua enam suspek ditahan reman selama lima hari sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .