» » » Kementerian Kerjaraya nafi naikkan tol


Laporan mengenai kenaikan kadar tol yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp adalah palsu, menurut Kementerian Kerja Raya.

Dalam kenyataan malam tadi, kementerian itu berkata laporan yang diviralkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu adalah berita lama dan telah dikitar semula.

"Ini jelas apabila laporan berkenaan memetik tarikh dan hari yang salah dengan menyebut kenaikan tol kononnya akan berkuat kuasa pada Isnin 16 November padahal 16 November 2016 jatuh pada hari Rabu," kata kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa sehingga kini belum ada sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar tol.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis menafikan kononnya berlaku kemalangan dan letupan melibatkan sebuah lori tangki LPG berhampiran tol Seremban-Rasah semalam.

Beliau berkata kejadian melibatkan lori tangki milik Petronas itu sebenarnya berlaku pada Rabu lepas namun ia tidak melibatkan sebarang letupan manakala pemandunya pula hanya mengalami cedera ringan.

"Ia tidak benar... hari ini tiada berlaku kemalangan lori tangki LPG seperti yang didakwa," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian mengulas viral yang tersebar di laman sosial kononnya laluan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari arah Seremban ke Johor Bahru ditutup ekoran sebuah lori tangki meletup.

Viral itu juga mendakwa kejadian tersebut menyebabkan semua jalan masuk ke bandar Seremban sesak teruk.

Norazam dalam pada itu menasihati masyarakat agar mendapatkan kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu dan menyifatkan berita berkenaan sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Saya minta masyarakat berhati-hati apabila menerima berita begini, periksa dahulu kesahihannya kerana berita seperti ini boleh mencetuskan suasana panik dalam masyarakat.

"Berita-berita palsu sebegini perlu dihentikan kerana boleh menyusahkan masyarakat," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .