» » Rafizi desak KHAZANAH beritahu kepada umum atas arahan siapa projek Taman Tugu yang membazir dibuat


Anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli mengingatkan Khazanah Nasional Berhad supaya tidak menjadi syarikat yang 'dibenci' rakyat gara-gara menjadi peneraju projek Taman Tugu. 

Rafizi berkata, sebagai sebuah syarikat pelaburan negara, Khazanah perlu telus berhubung projek itu yang menelan belanja sehingga RM650 juta.

Katanya, ketelusan itu penting bagi mengetahui siapakah pihak bertanggungjawab mengarahkan projek berkenaan bagi mengelakkan syarikat pelaburan tersebut menjadi seperti 1MDB.

"Saya prihatin kedudukan Khazanah kerana kalau mereka diarahkan mengusahakan projek ini, maka mereka terpaksa berdepan dengan kemarahan rakyat.

"Mereka perlu berterus terang siapa sebenar yang mengusahakan, idea siapa dan kenapa.

"Kalau 1MDB dah bungkus dan Khazanah terjejas jenamanya sehingga orang marah dan reputasi tak baik, itu sekali lagi akan mendatangkan kesan buruk pada satu-satunya badan pelaburan rakyat yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi berkata sebagai inisiatif untuk membantu Khazanah, pihaknya akan menjalankan kaji selidik terlebih dahulu sebelum melakukan pertemuan dengan syarikat tersebut.

Katanya, jemputan Khazanah akan dihadirinya selepas mendapat maklum balas daripada hasil kajiselidik serta maklumat daripada juruukur dan jurutera yang mahir dalam projek berkenaan.

"Saya hanya akan hadir menyertai satu taklimat dan perbincangan dengan Khazanah atau pihak berkuasa setelah mendapat maklum balas umum dari orang ramai mengenai perkara ini.

"Ia juga sesuatu yang boleh membantu Khazanah menilai kesan projek ini kepada jenamanya," katanya lagi.

Justeru Rafizi melancarkan kempen #QS_Rakyat bagi mengumpul juruukur dan jurutera untuk menjadi sebuah pasukan bagi membantu menyemak kos yang disebut Khazanah.

Kempen #SurveyTamanTugu pula dibuat bagi mengumpul pandangan orang ramai mengenai projek tersebut.

Kedua-dua kempen itu dibuka kepada orang ramai sehingga Jumaat ini.

"Saya galakkan seberapa ramai rakyat menyertainya jika benar-benar serius mengenai pembaziran wang negara.

"Saya menunggu maklum balas orang ramai yang dibuka sehingga Jumaat ini sebelum saya mengaturkan perjumpaan dengan Khazanah secara rasmi," katanya lagi.

Sementara itu, pada sidang media sama, Rafizi turut melancarkan kempen #KAU #Malaysiatakperlukanhero yang dikendalikan oleh sebuah badan NGO yang dikenali sebagai INVOKE.

Menurut Rafizi, NGO berkenaan merupakan satu badan yang tidak memilih parti bagi menjalankan kerja-kerja terhadap mana-mana calon yang mempunyai prinsip untuk menukar kerajaan dan kepimpinan negara.

Tambahnya, badan itu juga akan memberi ruang kepada rakyat Malaysia yang tidak gemarkan politik kepartian tetapi mahu menyumbang kepada usaha menukar kerajaan dan kepimpinan negara.

Menurutnya, sukarelawan daripada NGO berkenaan juga akan memfokuskan kerusi parlimen marginal selain membantu mana-mana calon yang dilihat mempunyai peluang besar menewaskan parti lawan pada pilihan raya ke-14.

"Satu komponen yang penting untuk menukar keadaan politik dan ekonomi negara ialah menggembleng kuasa rakyat untuk menggerakkan sebarang usaha menukar kepimpinan negara.

"Dengan cara ini usaha menukar (perdana menteri) Datuk Seri Najib (Razak) dan kerajaan tidak diserahkan bulat-bulat kepada parti politik.

"Sukarelawan ini akan membantu semua calon tak kira dari parti PKR, AMANAH, PAS atau Umno asalkan calon itu mempunyai prinsip sama dengan NGO," katanya lagi.

Maklumat lanjut mengenai INVOKE boleh didapati di www.invokemalaysia.org atau laman Facebook INVOKE Malaysia.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .