» » Pemandu lori mabuk yang melanggar mati seorang pemuda hanya didenda RM9,500 oleh Mahkamah Majistret


Seorang pemandu lori didenda RM9,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dan memandu di bawah pengaruh alkohol dua tahun lalu.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau enam bulan penjara terhadap A.B Rajesparan selepas dia mengaku bersalah memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa terhadap Iqbal Khan Raja Khan, 23.

Rajesparan, 26, juga didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan tidak berdaya mengawal kenderaannya sehingga membahayakan mangsa (Iqbal Khan).

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lebuhraya Persekutuan dari arah Petaling Jaya ke Kuala Lumpur pada 4.40 pagi, 20 April 2014.

Bagi pertuduhan pertama dia dituduh di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh juga dihukum penjara maksimum 12 bulan.

Dia juga didakwa di bawah Seksyen 45A akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 yang boleh dihukum penjara maksimum 12 bulan dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh denda maksimum RM10,000 serta boleh dihukum penjara maksimum dua tahun.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol telah melanggar mangsa dari arah belakang sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Hasil siasatan daripada bacaan urin tertuduh mendapati kandungan alkohol di dalam badannya berada di paras 136mg/100ml, melebihi 29 unit daripada had alkohol yang ditetapkan iaitu 107mg/100ml.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan mengambil kira kesalahan tersebut telah menyebabkan kematian.

Rajesparan yang diwakili peguam Dinesh Muthal merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman denda ringan atas alasan pengakuan bersalah lelaki itu telah menjimatkan kos dan masa mahkamah serta tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .