» » » BERSIH kaji heret SPR ke mahkamah kerana isu persempadanan semula


Kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH sedang mempertimbangkan bagi memfailkan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung salah pembahagian kerusi pilihan raya di seluruh negara.

Memetik Seksyen 2C Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, pegawai sumber BERSIH, Wong Chin Huat berkata sepatutnya semua kawasan pilihan raya seharusnya hampir sama.

Satu kajian oleh Institut Pulau Pinang bagaimanapun mendapati bahawa ini tidak berlaku di beberapa negeri.

Sebagai contoh, Wong berkata di Selangor, nisbah kawasan terbesar dengan kawasan paling kecil adalah 4.05 berbanding 1.

"Adakah kamu kata bahawa 150,000 pengundi lebih kurang sama dengan 37,000 pengundi?" soalnya merujuk kepada dua kawasan - Damansara dan Sabak Bernam.

SPR, katanya, mungkin akan memberi penjelasan bahawa Damansara adalah sebuah kerusi kawasan bandar manakala Sabak Bernam pula kerusi luar bandar.

Sekali lagi memetik perlembagaan, Wong berkata bahawa semua kerusi perlu lebih kurang sama kecuali kawasan terutamanya yang besar.

"Seperti Gua Musang, sebagai contoh. Ia meliputi hampir separuh daripada Kelantan," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya.

Justeru, Wong, ingin tahu mengenai persediaan SPR di mahkamah berhubung perkara ini.

"Macam mana kamu akan dapat yakinkan mahkamah bahawa 4.05 adalah lebih kurang sama dengan 1.

“Adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan kita untuk mempercayai ini," katanya.

Tugas perlembagaan

Dalam kes Pulau Pinang, SPR juga telah melepaskan tanggungjawab perlembagaannya untuk mengurangkan salah pembahagian kerusi dalam proses persempadanan semula, kata Wong.

Kawasan parlimen di negeri itu tidak pernah menyimpang lebih daripada 28 peratus dalam sedekad yang lalu tetapi Wong berkata bahawa SPR masih perlu melakukan persempadanan semula untuk mengurangkan salah pembahagian kerusi kerana peluang seterus berbuat demikian hanya akan datang dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Kes yang paling jelas di Pulau Pinang adalah kerusi Paya Terubong di mana SPR gagal untuk mengurangkan salah pembahagian akibat perkembangan dan pergerakan demografi.

Dengan 41,707 pengundi, Paya Terubong mempunyai hampir dua kali ganda pengundi berbanding dengan purata kerusi Dewan Undangan Negeri.

Bagi Wong, beliau yakin SPR tidak berbuat apa-apa berhubung Pulau Pinang kerana "tidak kira bagaimana mereka melakar sempadan Pulau Pinang, ini tidak ada memberi kelebihan kepada MCA atau Gerakan".

"Isu sebenar adalah SPR melepaskan tugas perlembagaannya. Mereka meninggalkan tanggungjawap, mereka tidur di tempat kerja.

"SPR tahu persempadanan semula hanya untuk dua perkara - untuk melemahkan pembangkang dan mewujudkan kerusi kecil.

“Ini adalah bukti [...] bahawa SPR pada dasarnya hanya berkhidmat kepada tuan politik," kata Wong.

Sementara itu, naib pengerusi BERSIH, Thomas Fann berkata rakyat prihatin boleh mendaftar bagi membantah proses persempadanan semula dengan melayari dart.bersih.org.

Fann mendakwa 4,000 orang telah mendaftar sejak BERSIH membuat pengumuman itu pada 15 September lalu.

Proses persempadanan semula secara rasmi bermula pada 15 September lalu dengan tempoh sebulan dipamerkan untuk tatapan umum dan bantahan.

Cadangan SPR akan melihat sempadan 128 kawasan Parlimen dilakar semula.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .