Tempoh bayaran balik maksimum selama 35 tahun bagi pinjaman perumahan adalah lebih daripada mencukupi bagi peminjam menjelaskan pinjaman perumahan menjelang umur persaraan mereka, menurut Bank Negara.
"Sebagai contoh, sekiranya pinjaman perumahan ditawarkan kepada peminjam semasa berusia 25 tahun, tempoh pembiayaan selama 35 tahun adalah sehingga umur persaraan 60 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, dengan melanjutkan tempoh pinjaman kepada 40 tahun akan menambah jumlah kos pembiayaan tanpa sebarang peningkatan ketara dalam kemampuan seseorang itu untuk membayar ansuran bulanan, katanya.
Maklum balas berkenaan sebagai merujuk kepada laporan media yang meminta Bank Negara supaya mengkaji semula garis panduan pemberian pinjaman berkaitan dengan pelanjutan tempoh bayaran balik pinjaman perumahan daripada 35 kepada 40 tahun.
Bank pusat menjelaskan bahawa, pelaksanaan garis panduan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh BNM bertujuan untuk memelihara kepentingan seseorang individu supaya mereka meminjam mengikut kemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan.
Ini bagi mengelakkan peminjam daripada menghadapi masalah kewangan akibat bebanan hutang yang berlebihan yang boleh membawa kepada perampasan rumah lantas menjejaskan matlamat pemilikan rumah.
Kata Bank Negara, akses kepada pembiayaan bukan merupakan masalah utama yang dihadapi oleh bakal pembeli rumah mampu milik sebaliknya, isu utama yang memerlukan penyelesaian ialah kemampuan mereka dan kekurangan bekalan rumah pada harga yang berpatutan.
Menurut Bank Negara lagi, institusi kewangan akan terus memberikan pinjaman kepada individu yang mampu mengambil pinjaman perumahan, termasuk untuk pembelian rumah pertama mereka.
Pada Julai 2016, jumlah pinjaman perumahan terkumpul yang diberikan institusi kewangan terus meningkat pada 10.1 peratus pada asas tahunan dan berjumlah RM460.2 bilion.
Kira-kira 75 peratus daripada peminjam atau lebih kurang 1.5 juta peminjam, yang mempunyai pinjaman perumahan merupakan pembeli rumah kali pertama.
Institusi kewangan bertanggungjawab untuk memastikan pendapatan peminjam selepas potongan wajib, perbelanjaan atas barangan keperluan asas dan semua tanggungan hutang lain adalah mencukupi untuk membayar balik hutang, katanya.
"Ini bagi memastikan peminjam boleh terus membayar balik pinjaman serta mempunyai baki kewangan yang mencukupi untuk perbelanjaan mereka serta bersedia menghadapi sebarang kenaikan kadar pinjaman dan kos sara hidup pada masa akan datang," katanya.
No comments: