Dianggarkan kira-kira 36,570 pekerja diberhentikan pada tahun lalu dengan 16,789 daripadanya melalui proses pembuangan dan 19,781 orang lagi menerusi Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).
Menurut Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), setiap tahun kira-kira 15,000 hingga 16,000 pekerja diberhentikan kerja, manakala kadar pengangguran ialah 3.1 peratus.
Mengulas perkembangan tersebut, Ketua Eksekutif HRDF, Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran berkata, trend pemberhentian pekerja yang melanda kebelakangan ini meliputi pelbagai sektor di dalam mahupun luar negara disifatkan sebagai fenomena biasa mengambil kira perkembangan teknologi terkini.
Industri minyak dan gas (O&G) menerima impak tinggi dari segi pemberhentian pekerja lebih-lebih lagi susulan kejatuhan mendadak harga minyak dunia.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, punca pembuangan pekerja bukan sahaja disebabkan oleh faktor ekonomi semasa semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, evolusi teknologi yang berlaku dari semasa ke semasa turut memberi kesan kepada pekerja terutama dalam sektor perkilangan dan pembuatan.
Beliau memberi contoh penggunaan pita video atau kaset pada awal 1990-an yang kini tidak relevan menyebabkan penghasilan produk berkenaan telah dihentikan.
“Jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang tahun lalu bukanlah satu perkara yang membimbangkan kerana apabila sesebuah produk berkenaan tidak lagi boleh dijual di pasaran, maka pekerja kilang yang memiliki kemahiran untuk menghasilkan produk itu tidak diperlukan.
“Peralihan teknologi kepada penghasilan alat yang lebih canggih justeru memerlukan seseorang individu untuk mempelajari kemahiran baharu dengan pantas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Pusat Penempatan 1Malaysia atau 1Malaysia Outplacement Centre (OPC) di bawah HRDF akan dilancarkan pada Ogos ini.
Kerajaan meluluskan peruntukan RM77 juta kepada OPC untuk memberi latihan kemahiran diperlukan golongan yang diberhentikan kerja bagi membolehkan mereka kembali mendapat pekerjaan.
Vignaesvaran berkata, kira-kira 8,000 individu yang diberhentikan kerja akan dibantu untuk memperoleh kemahiran melalui pelbagai latihan agar mereka dapat memasuki pasaran pekerjaan.
“Apabila program itu berjalan sepenuhnya, lebih banyak pusat serupa akan dibuka di seluruh negara memandangkan kini ia hanya terdapat di Kuala Lumpur,” katanya.
No comments: