» » » Khalid sahkan serangan bom tangan di kelab malam di Puchong angkara IS


Polis mengesahkan terdapat pembabitan elemen militan Negara Islam (IS) dalam serangan letupan bom di sebuah kelab malam atau pusat hiburan di Puchong pada 28 Jun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia adalah serangan pertama IS di negara ini dan pihaknya telah menahan 15 orang, termasuk dua anggota polis berhubung dengan siasatan kes itu.

“Hasil siasatan kita, kita mendapati memang benar, ada penglibatan elemen IS dalam kejadian yang berlaku pada Movida.

“Kita telah menangkap 15 orang yang kita syaki, bukan semua terlibat dalam kejadian Movida itu, tetapi terlibat dalam kegiatan IS.

“Tujuh orang di Kedah, empat orang di Selangor, dua orang (di) Kuala Lumpur, Melaka satu orang dan Pulau Pinang satu orang,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam serangan itu, lapan orang cedera, tetapi pihak polis pada mulanya menolak terdapatnya unsur keganasan.

Walau bagaimanapun, sebuah lama Facebook yang dikaitkan dengan militan IS, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, serangan itu dipercayai dilakukan atas arahan seorang ahli IS warga Malaysia itu yang kini berada di Syria.

"Mereka menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk melakukan serangan di pusat hiburan di negara ini.

"Selain itu, sasaran mereka adalah pemimpin kanan negara, polis serta hakim," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati penyerang memperoleh bom tangan yang digunakan dalam kejadian itu dari negara jiran.

"Kami turut merampas pelbagai senjata tajam selain barangan seperti bendera kumpulan IS daripada suspek.

"Ini merupakan kes bom yang pertama di negara ini dan kita akan jalankan siasatan secara terperinci," katanya.

Khalid berkata pihaknya juga sedang memburu dua lagi suspek yang turut terbabit dalam insiden letupan itu selepas menahan dua lelaki yang disyaki mendalangi serangan itu.

Katanya, kedua-dua mereka ditahan di Pelabuhan Klang pada 1 Julai lalu dan dua lagi rakan subahat mereka juga sudah dikenal pasti identiti mereka.

“Suspek iaitu Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, yang dipercayai bersubahat melancarkan serangan di Movida pada 28 Jun lalu.

"Kami meminta orang ramai untuk segera melaporkan kepada polis jika melihat mereka," katanya.

Pada serangan itu, sekurang-kurangnya lapan cedera, seorang daripadanya parah, dalam insiden letupan dipercayai berpunca daripada bom tangan dekat sebuah premis hiburan di IOI Boulevard, Puchong.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .