» » » » Reputasi Najib Razak yang korup sebabkan laporan negatif yang mampu gugat ekonomi Malaysia


Biarpun liputan media antarabangsa mengenai Malaysia dan skandal kewangannya menjejaskan imej serta ekonomi negara, namun bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ia nampaknya memberi kekuatan kepadanya untuk lebih berkuasa, kata penganalisis politik.

Mereka berkata, walaupun Putrajaya buat masa ini memberanikan diri menepis segala laporan negatif, namun terdapat kebimbangan dalam kerajaan dan perkhidmatan awam tentang bagaimana untuk menangani kerosakan yang timbul.

Ketua Pusat Pemikir Inisiatif Dasar, Dr Lim Teck Ghee berkata, walaupun pada "zaman teruk di bawah rejim (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dulu", laporan negatif yang diterima tidak sampai ke tahap ini.

Lim berkata kebimbangan utama sekarang adalah pelabur dan peniaga asing akan mengkaji semula kedudukan mereka manakala ada yang akan membuat keputusan untuk tidak melabur di sini berikutan keadaan tidak stabil ketika ini.

Beliau berkata, walaupun secara terbuka Putrajaya nampaknya tidak peduli, namun terdapat kebimbangan dalam kerajaan dan perkhidmatan awam mengenai cara untuk menangani kerosakan yang akan berlaku.

"Najib dan penyokongnya pastinya tidak nyenyak tidur memikirkan pendedahan media seterusnya dan apa akan dibongkarkan selepas ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah, ketika kerajaan berfungsi seperti sedia kala buat masa ini, pihak berkepentingan yang lain akan mula bersuara apabila sentimen awam bertukar secara drastik terhadap perdana menteri.

"Apabila aliran pelaburan merosot, ringgit menjunam dan sentimen awam terhadap perdana menteri bertambah teruk, kita akan melihat maklum balas daripada pihak berkepentingan utama lain selain PMO," kata Lim, merujuk kepada Pejabat Perdana Menteri.

Wartawan veteran Datuk Kadir Jasin berkata, berita negatif di Malaysia ketika ini tidak seperti krisis 1998 yang melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kali ini, ia melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan sekatan ke atas kebebasan awam – unsur-unsur yang tidak diterima di Barat.

Beliau menambah, pada masa lalu, pentadbiran negara tidak perlu terlalu bimbang tentang liputan media negatif kerana rakyat secara amnya berada di belakang kerajaan.

"Media asing boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahu tetapi impak ke atas politik dalam negara tidak begitu besar, rakyat boleh dikatakan masih menyokong kerajaan.

"Dan jika ketua kerajaan ada kredibiliti, dia tidak perlu bergantung kepada menteri atau dutanya untuk mempertahankan beliau.

"Tetapi malangnya, apa yang kita lihat sekarang ialah menteri-menteri yang bercakap bagi pihaknya tidak begitu berwibawa," kata Kadir.

Kadir enggan menyebutkan nama, tetapi Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak baru-baru ini menuduh Peguam Negara Switzerland melanggar protokol dan mendedahkan maklumat yang salah apabila mendakwa berbilion dolar dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Manakala, Duta Malaysia ke United Kingdom dan Northern Island, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi mempertahankan Najib selepas kepimpinan perdana menteri itu dilabelkan sebagai "membawa bencana" oleh akhbar Financial Times (FT).

Kadir juga berkata media asing yang menerbitkan berita negatif mengenai Malaysia merupakan agensi berita dan akhbar yang "boleh dipercayai dan sangat dihormati" di negara mereka sendiri.

Malaysia, katanya, harus bimbang tentang kesan daripada laporan negatif itu ke atas ekonomi.

"Kita perlu ambil berat tentang apa yang orang fikir dan bagaimana mereka bertindak balas terhadap berita buruk tentang negara ini.

"Tetapi saya faham sikap Putrajaya, saya rasa mereka lebih bimbang dan sibuk dengan kepentingan sempit kerajaan daripada isu-isu yang lebih besar, iaitu kelangsungan hidup," kata Kadir.

Penganalisis politik Dr Wong Chin Huat berkata, di mana-mana negara, ancaman berterusan daripada media pro pembangkang akan membawa kepada bantahan umum yang meluas, kemudiannya diikuti pemberontakan dalaman parti pemerintah.

"Tetapi jalan-jalan di Kuala Lumpur dan ibu negeri kelihatan tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Malah, Najib mampu memperkukuhkan kedudukannya dalam parti.

"Ini kerana pemimpin Umno tidak tahu bagaimana untuk menyingkirkannya tanpa merosakkan parti," katanya.

Wong berkata, dilema lain ialah rakyat Malaysia tidak mempunyai kesepakatan bagaimana Malaysia baharu harus dibina selepas Umno sekiranya parti pemerintah itu tumbang.

"Ada yang mahu kesinambungan paradigma DEB dan Islamisasi yang lebih besar manakala yang lain mahu Malaysia yang lebih inklusif dan terbuka," katanya merujuk kepada Dasar Ekonomi Baru.

Wong juga berkata pada masa lalu, pakatan pembangkang cuba untuk mengetepikan perbezaan seperti "Bumiputeraisme" dan agenda hudud tetapi usaha ini gagal.

"Mengapa Umno membenarkan pembangkang menangguhkan perbezaan pendapat mereka dan tidak memecahkan mereka?

"Sebab, tidak nampak alternatif kepada Najib dalam Umno, dan kepada Umno dalam negara. Najib akan terus kekal sementara negara tenggelam sedikit demi sedikit setiap kali skandal baharu timbul," katanya

Wong berkata satu-satunya cara adalah dengan mengadakan dialog secara jujur dan ikhlas bagi mengatasi kesangsian dan mencapai kata sepakat di peringkat nasional, di mana pemimpin mengamalkan rasuah tidak akan diterima.

Penganalisis politik Dr Oh Ei Sun dari Sekolah Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura bersetuju Malaysia mendapat publisiti kerana sebab yang salah, tetapi beliau tidak fikir ia akan memberi kesan besar kepada Putrajaya atau ekonomi negara.

Beliau berkata, ini kerana masyarakat antarabangsa masih menganggap Malaysia sebagai sebuah negara majoriti umat Islam yang sederhana, lebih baik berbanding rakan-rakan di Timur Tengah.

"Di dalam negara, semua tekanan antarabangsa ini tidak membawa apa-apa kesan pun kerana ia tidak boleh diterjemahkan kepada aktivisme politik tempatan yang penting," katanya.

Putrajaya tidak perlu begitu bimbang tentang apa yang dilaporkan media antarabangsa, memandangkan kuasa penyandang yang ada dalam politik Malaysia, katanya.

"Realiti politik di Malaysia ialah, kuasa penyandang sangat kuat, bukan kerana Dr Mahathir menumpukan kuasa kepada ketua eksekutif pada zaman pemerintahannya.

"Undang-undang tambahan diluluskan sepanjang tahun lepas dan ia mengukuhkan kuasa perdana menteri atau kerajaannya.

"Dan ada juga politik naungan. Jika tidak hilang kehendak untuk memerintah, seperti mana dalam kes Badawi, tidak ada cara menjatuhkan seorang penyandang perdana menteri," Oh berkata, merujuk kepada 2 bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, Putrajaya juga boleh bersikap tidak mengambil berat tentang laporan negatif kerana realiti politik antarabangsa adalah, kebimbangan global seperti keganasan berleluasa mengatasi kebimbangan lain yang tidak berkaitan keganasan.

"Memang tidak ada cara untuk menjatuhkan seorang penyandang pemimpin negara dengan membuat pertuduhan di peringkat antarabangsa, walaupun mereka yang didakwa atas kesalahan jenayah perang atau jenayah kemanusiaan," kata Oh.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .