» » » » Propaganda kerajaan tak mampu perbaiki reputasi Malaysia yang terkenal dengan korup dan rasuah


Putrajaya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang menghadapi serangan hebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini di tengah-tengah laporan antarabangsa yang negatif berhubung skandal kewangan di negara ini, kata seorang bekas duta.

Dennis Ignatius, yang bertugas dengan perkhidmatan luar negara Malaysia selama lebih 3 dekad berkata, kekecewaan di peringkat antarabangsa kini makin meningkat akibat hala tuju yang diambil Malaysia.

Beliau berkata, liputan media yang negatif tidak baik untuk ekonomi negara dan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara sederhana, stabil dan progresif kini hancur, akibat kelakuan pemimpin yang hanya mengutamakan kuasa peribadi dan kepentingan diri.

"Hari ini, kita dilihat sebagai korup, tidak demokratik, tidak stabil dan mundur, sebuah negara yang menuju ekstremisme dan tiada toleransi," bekas duta ke Kanada itu memberitahu The Malaysian Insider melalui emel.

Mengulas mengenai menteri tertentu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Datuk Ahmad Rasidi Hazizi yang mempertahankan Putrajaya susulan liputan negatif mengenai pelabur negara sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang diterima Najib, Ignatius berkata, walau satu laporan dibuat pihak media seperti Bloomberg atau Financial Times (FT), ia lebih serius dan meninggalkan kesan berbanding "100 orang duta yang menjaja propaganda kerajaan".

Ignatius, yang juga pernah berkhidmat sebagai duta ke Chile dan Argentina, berkata Rasidi boleh membawa agenda kerajaan dalam suratnya kepada akhbar British, tetapi ia hanya akan diterima baik ahli Umno dalam negara, tidak oleh orang lain.

Ahli politik hari ini, katanya, bercakap untuk memikat hati masyarakat tempatan tetapi bukan untuk memenangi hujah di luar negara.

Berikut adalah petikan daripada temu bual melalui emel itu.

TMI: Perhatian antarabangsa yang dialami Malaysia sekarang, adakah ia pernah berlaku sebelum ini?

Ignatius: Sepanjang berdekad saya sebagai diplomat, duta dan pengulas politik, saya tidak pernah melihat tahap penelitian yang sebegini sebelum ini, bukan sahaja oleh media antarabangsa tetapi juga kerajaan yang lain. Tak pernah sekalipun Malaysia terus-terusan menerima liputan media yang teruk, ulasan negatif, kritikan tajam seperti ini.

Ia lebih dahsyat daripada kritikan yang diterima apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, dan itu sahaja pun sudah memang teruk.

Saya fikir, kekecewaan dunia terhadap Malaysia kini semakin meningkat kerana hala tuju ang diambilnya. Selama bertahun-tahun, masyarakat antarabangsa bersedia untuk memberi kepercayaan kepada kerajaan, walaupun dengan begitu banyak dasar yang boleh dipersoalkan, kerana ia melihat Malaysia sebagai rakan yang ada nilainya, atau mungkin ia berharap kerajaan satu hari nanti akan sedar dan membetulkan keadaan.

Sekarang, ada kekecewaan dan rasa semakin tidak sabar dengan keengganan kerajaan melakukan apa yang patut dilakukan untuk memperbaiki dirinya. Kita menjadi liabiliti kepada rakan dan jiran kita, sesuatu yang memalukan.

TMI: Pada masa lalu, bagaimana kerajaan Malaysia bertindak balas kepada perkara-perkara seperti itu, adakah ia dilakukan melalui duta Malaysia atau saluran lain? Ketika ini kita ada menteri yang mengeluarkan kenyataan terhadap laporan asing tertentu, seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan dalam kes laporan FT, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK menulis kepada FT tanda protes.

Ignatius: Sudah tentu, duta dijangka mempertahankan kerajaan di hadapan negara tuan rumah mereka dan apabila bercakap dengan media asing. Ia sememangnya bukan satu tugas mudah, termasuk pada ketika yang baik. Para duta boleh cuba memutarkan kebenaran – bukankah Lord Acton pernah berkata, duta ialah seorang yang jujur, dihantar ke luar negara untuk berbohong bagi pihak negaranya?

Tetapi setakat mana sahaja yang mereka boleh lakukan, terutamanya apabila berita dari negara mereka sendiri begitu membinasakan, apabila keadaan sebenarnya begitu menambat perhatian dan apabila kerajaan sendiri mengelak dan tidak meyakinkan.

Dalam mana-mana kes pun, satu laporan akhbar seperti Bloomberg atau FT lebih bermakna dan memberi kesan daripada 100 duta yang menjaja propaganda kerajaan.

Strategi menyelamatkan diri daripada liputan media negatif dengan mengupah firma perhubungan awam (PR) yang licik untuk memaparkan cerita-cerita yang "feel good" di media asing sudah pasti memakan diri. Kebanyakan media Barat kini berhati-hati dengan orang PR seperti itu walaupun mungkin masih ada wartawan yang tidak bertanggungjawab yang sanggup memusingkan kebenaran untuk wang.

Dan jangan lupa, kini jauh lebih sukar bagi kerajaan untuk memutarbelitkan fakta dengan adanya Internet dan perkara seperti Facebook dan Twitter.

Berita tempatan menjadi global dalam sekelip mata; pendapat terbentuk dan kesimpulan dibuat berdasarkan kaitan dalam kumpulan masing-masing yang amat sukar untuk diubah. Kerajaan yang tidak demokratik sememangnya takut dengan Internet dan berusaha mengawalnya.

Oleh itu, pesuruhjaya tinggi kita di London boleh membawa agenda kerajaan semahunya dengan menulis surat kepada FT dan akhbar-akhbar British yang lain, tetapi jelas, siri skandal yang menggoncang kerajaan kini tidak mampu diputar belit sesiapa. Surat beliau mungkin diterima baik ahli Umno dalam negara tetapi akan ditolak hampir setiap orang lain.

Sudah tentu, ia tidak membantu apabila menteri-menteri kita juga tidak menjaga mulut mereka dan bercakap mengarut. Tetapi anda harus faham, menteri-menteri ini tidak memikirkan mengenai reaksi dari luar; mereka bergelut meyakinkan penyokong mereka sendiri dan kawasan mereka.

Mereka tahu mereka tidak boleh berharap untuk meyakinkan kerajaan lain atau media antarabangsa; apa yang mereka boleh lakukan adalah cuba untuk tidak tunduk kepada tekanan di tempat paling penting kepada mereka, iaitu dalam negara.

Selain itu, begitu banyak yang diperkatakan sesetengah ahli politik hari ini adalah semata-mata direka bagi menaikkan nama mereka sendiri dalam parti, pembodek yang tidak tahu malu dan tidak berprinsip, dan bukannya untuk menawan media antarabangsa. Ia tentang mendapat nama baik dalam negara dan bukannya cuba untuk memenangi hujah di luar negara.

TMI: Pada pendapat anda, adakah Putrajaya dan perdana menteri ketika ini berdepan serangan hebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini?

Ignatius: Saya rasa ia cukup jelas. Dan sudah tiba masanya juga. Sudah terlalu lama sebahagian besar masyarakat antarabangsa hanya berdiam menghadapi begitu banyak penyalahgunaan kuasa – pemenjaraan Anwar, penggunaan undang-undang zalim untuk menyekat perbezaan pendapat, gangguan terhadap pembangkang, dan kematian perlahan-lahan demokrasi kita yang dulunya dapat dibanggakan.

Walaupun NGO hak asasi manusia mengambil langkah wajar meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan, sebahagian besar demokrasi Barat hanya senyap atau hanya membataskan diri kepada mengeluarkan protes pro forma supaya tidak menjejaskan tawaran perniagaan yang menguntungkan atau menyebelahi sebuah negara Islam yang dikatakan 'sederhana'.

Presiden Obama, sebagai contoh, tanpa segan silu memanjakan salah seorang pemimpin yang paling tidak demokratik yang kita ada, bukannya menegakkan tradisi besar demokrasi di negara sendiri. Ia hanya menggalakkan kerajaan untuk merasakan ia bebas melakukan apa saja, yang ia terlalu penting untuk dikritik.

Rakyat Malaysia, kecewa kerana tidak dapat mencari keadilan dalam negara, kemudiannya membawa kebimbangan mereka ke peringkat global – saya namakannya globalisasi rasa tidak puas hati kita.

Orang-orang seperti (Datuk Seri) Khairuddin Abu Hassan merayu kepada pihak berkuasa luar untuk mengambil tindakan dan ia memaksa masyarakat antarabangsa untuk bangkit dan memberi perhatian, terutamanya apabila skandal ini juga melanggar undang-undang beberapa bidang kuasa asing.

Dengan pihak berkuasa asing menyiasat rasuah tahap tinggi dan pengubahan wang haram di Malaysia, kita mungkin akhirnya boleh melihat keadilan terlaksana.

TMI: Pada pendapat anda, sejauh mana laporan-laporan antarabangsa ini merosakkan Malaysia?

Ignatius: Tidak syak lagi, begitu banyak pendedahan tentang rasuah dan salah laku penguasa serta tindakan keras ke atas pembangkang, sekatan atas media dan Internet, sekatan atas kebebasan awam dan keseluruhan perdebatan mengenai hudud, sangat merosakkan reputasi Malaysia.

Reputasi Malaysia sebagai sebuah negara sederhana, stabil dan progresif, reputasi yang mengambil masa beberapa dekad untuk kita bina, kini hancur, disia-siakan pemimpin yang hanya mementingkan kuasa peribadi dan kepentingan diri. Hari ini, kita dilihat sebagai korup, tidak demokratik, tidak stabil dan mundur, negara yang menuju ke arah ekstremisme dan tiada toleransi.

Kesan-kesan ekonomi juga sama dahsyatnya. Pengulas kewangan yang disegani seperti Bloomberg melaporkan kemerosotan keyakinan pelabur. Terdapat terlalu banyak ketidaktentuan politik, terlalu banyak laporan rasuah, salah urus dan kebatilan, yang selalunya membuatkan pelabur jadi gementar.

Bukan tiada sebab tahun lepas pelabur asing menjual sejumlah AS$7.4 bilion saham dan bon Malaysia serta ringgit jatuh 19%.

TMI: Apa yang boleh atau harus Putrajaya lakukan, sekiranya menteri terus dengan reaksi spontan mereka menolak laporan antarabangsa? Atau adakah perlu lebih diplomasi?

Ignatius: Diplomasi? Saya tidak tahu diplomasi ada peranan dalam semua ini. Diplomasi tidak boleh melindungi skandal dan rasuah. Ia sememangnya tidak direka untuk berbuat demikian. Kerajaan perlu memantapkan pentadbirannya, terima hakikat dan buat pembaharuan yang bermakna.

Ia perlu meyakinkan rakyat Malaysia dan dunia yang ia boleh berubah menjadi lebih baik. Malangnya, tidak ada tanda-tanda ke arah itu. Strategi mereka adalah untuk menafikan segala-galanya, terus menegaskan segala-galanya dalam keadaan baik, memburuk-burukkan pengkritik dan berharap semuanya akan reda. Ini kaedah Mugabe, saya rasa.

TMI: Apa pandangan anda tentang peguam negara Switzerland yang membuat kenyataan terbuka mengenai siasatan 1MDB? Menteri Salleh Keruak berkata, salah untuk beliau berbuat demikian. Adakah anda setuju?
Ignatius: Sudah tentu menteri mahu ia dilakukan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G), jauh daripada publisiti. Mereka mahu cuba mengawal mesej yang disampaikan, letak versi mereka sendiri mengenai isu itu.

Dengan menghebahkannya kepada umum, peguam negara Switzerland itu – seorang yang bebas daripada campur tangan politik – membawa perhatian antarabangsa kembali kepada isu itu. Ia tidak lain satu tamparan kepada peguam negara kita sendiri yang dengan mudah menolak kes terhadap bosnya.

Ia adalah satu tanda masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap keupayaan penguatkuasaan undang-undang Malaysia untuk bertindak wajar dan adil menyiasat perkara itu. Saya pasti kebanyakan rakyat Malaysia menganggap peguam negara Switzerland itu wira, satu contoh seorang peguam negara sebenar. Lebih kuasa untuknya!

Dan laporan terkini, di mana Menteri Luar Arab tidak mahu negaranya dikaitkan dengan wang yang kononnya derma itu, saya fikir, menunjukkan rasa tidak puas hati dan tidak sabar negara itu kerana mereka terheret ke dalam skandal tersebut. Saya tertanya-tanya apa yang peguam negara kita akan katakan kini, selepas begitu bangganya menolak kes itu.


sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .