» » Peguam negara di M'sia lindungi pesalah dengan menghukum pemberi maklumat dan biarkan rasuah bermaharajalela


Cadangan peguam negara mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang membocorkan rahsia kelihatan seperti 1 usaha melindungi mereka yang melakukan kesalahan, kata Pusat Perlindungan Pemberi Maklumat dan Pemantau Kebangsaan (NOW).

Pengarah NOW, Akmal Nasir berkata, pemberi maklumat mengambil risiko membuat pendedahan salah laku kerana mereka mahu individu yang melanggar kepercayaan orang ramai dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.

Masalah kebocoran maklumat akan terhenti apabila penyelewengan tidak berlaku, kata Akmal, yang dalam siasatan polis kerana didakwa "memperolehi secara tidak sah" dokumen Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (Yapeim).

"Malangnya, cadangan peguam negara untuk mengetatkan undang-undang menghukum pemberi maklumat, termasuk hukuman penjara seumur hidup dan sebatan, seolah-olah tindakan untuk menghukum pemberi maklumat dan seterusnya melindungi mereka yang pecah amanah.

"Kebocoran maklumat berkaitan dengan salah guna kuasa, ketirisan dan pecah amanah hanya berlaku apabila hilang keyakinan terhadap organisasi tersebut.

"Kegagalan tindakan pembaikan dan pencegahan secara dalaman menyebabkan pemberi maklumat mencari saluran alternatif.

"Kebanyakan pendedahan yang dibuat adalah demi kepentingan orang ramai dan berupaya menghentikan daripada perkara tersebut terus berulang," kata Akmal dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan yang Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bagi mengenakan hukuman lebih keras atas mereka yang membocorkan rahsia.

Apandi dilaporkan memberitahu Sin Chew Daily, pejabatnya sedang mempertimbangkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah.

Beliau turut memberi amaran, tindakan sama boleh dikenakan terhadap pengamal media yang melaporkan rahsia yang dibocorkan.

Akmal berkata hari ini, NOW tidak akan gentar dan akan terus mendedahkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam negara.

"Walau apapun cabaran termasuk tekanan undang-undang, organisasi seperti NOW akan terus berkhidmat dan kekal relevan dalam masyarakat selagi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa kekal berleluasa dalam negara," katanya.

Katanya, tindakan merahsiakan urusan kerajaan terutamanya melalui undang-undang seperti OSA kini tidak lagi relevan.

"Mustahil untuk sesebuah kerajaan menyimpan rahsia terutamanya yang membawa natijah buruk kepada masyarakat.

"Kerana, sesiapa sahaja yang memiliki maklumat tersebut dan mempunyai kesedaran serta keberanian boleh tampil ke depan sebagai pemberi maklumat.

"Malah, tindakan kerajaan merahsiakan sesuatu perkara daripada rakyat akan menimbulkan syak wasangka dan lazimnya kerahsiaan itu dibuat hanya bagi melindungi golongan tertentu," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan segala pendedahan NOW mempunyai asas dan bukti yang kukuh.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .