» » » Jualan tahun baru Cina 2016 jatuh 30% bukti ekonomi Malaysia semakin nazak


Peniaga menjual barangan berkaitan sambutan Tahun Baharu Cina merungut kerana mengalami kejatuhan jualan antara 20% hingga 30% tahun ini, berbanding 2015, kata kumpulan peniaga.

Kejatuhan nilai jualan pada musim perayaan utama yang pertama bagi 2016 juga mungkin berulang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas tahun ini, memandangkan harga terus naik dan pelanggan mula memotong perbelanjaan.

Presiden Industri Kecil dan Sederhana Malaysia Michael Kang berkata, sektor runcit di seluruh negara menyaksikan purata kejatuhan 20% hingga 30% dalam jualan pada Tahun Baharu Cina.

Trend itu dirasai dalam semua jenis perniagaan yang menjual produk berkaitan Tahun Baharu Cina seperti buah-buahan, pakaian dan barangan sembahyang.

Trend itu kesinambungan dari tahun lalu di mana peniaga yang menjual barangan perayaan tertentu terjejas teruk.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata pada 2015, peniaga yang melabur untuk jualan gerai sempena perayaan itu, terpaksa bergelut walau hanya untuk mendapatkan balik kos mereka.

Ini trend yang dialami peniaga dalam semua perayaan utama pada 2015, daripada Tahun Baharu Cina hingga Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan.

Peniaga di Klang, bandar yang 40% komunitinya terdiri daripada masyarakat Cina, memberitahu The Malaysian Insider jualan mereka jatuh antara 40% hingga 50% tahun ini.

Penjual buah yang hanya mahu dikenali sebagai An berkata, tahun ini beliau hanya ambil cuti 2 hari untuk meraikan Tahun Baharu Cina kerana terpaksa kembali berniaga di gerainya di Taman Eng Ann, Klang.

Kedua-dua peniaga itu berdepan masalah stok barangan tidak terjual dan itu menggambarkan betapa teruknya perniagaan pada perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Menjangkakan perniagaan tahun ini akan teruk, Chia dan Ang membeli stok pada jumlah sedikit dan barangan lebih murah, berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Tetapi, dengan berbuat demikian sekalipun, mereka tetap terpaksa bergelut untuk menghabiskan stok pada musim perayaan tahun ini.

“Beberapa tahun lalu, hanya perlu 3 hingga 4 hari saja sebelum malam Tahun Baharu Cina untuk habiskan semua stok jualan.

“Tetapi kini, saya masih ada di sini pada hari ke-4 dan masih ada stok yang perlu dijual,” kata Chia, 35, yang menjual biskut dan makanan ringan sejak 10 tahun lalu di Taman Eng Ann, kawasan kejiranan hampir 100% masyarakat Cina.

Ang lebih risau kerana masih ada berkotak-kotak epal, oren dan nanas yang perlu dijualnya dan barangan itu tidak dapat tahan lama berbanding biskut dijual Chia.

“Saya boleh simpan beberapa kotak dalam peti sejuk di rumah saya.

"Tetapi, kami terpaksa bersedia untuk rugi kerana buah yang rosak. Saya tahu saya tidak akan dapat jual semuanya,” kata Ang.

Ang menyalahkan jualan yang teruk kepada kenaikan harga buah-buahan, termasuk limau mandarin. Sekotak limau mandarin gred biasa hanya RM8 ke RM9 tahun lalu.

Tetapi, akibat kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, sekotak kini kosnya antara RM12 hingga RM12.50.

Jadi, pelanggan beli sedikit, kata Ang yang menjual buah-buahan bersama ibunya sejak beliau berumur 6 tahun.

Ang berkata, masalah lain ialah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mendakwa pengimport dikenakan cukai, walaupun di atas kertas, buah segar dikecualikan daripada cukai.

Menurut senarai barangan runcit disiarkan Jabatan Kastam pada Januari lalu, oren, epal dan nanas tidak dikenakan GST.

“Pembekal saya kenakan saya GST tetapi saya tidak boleh mengenakan semula kepada pelanggan. Jadi saya terpaksa meletakkan kos tambahan dalam harga jual.”

Walau bagaimana teruk sekalipun tahun ini, Ang dan Chia bersyukur kerana mereka sekurang-kurangnya tidak kerugian wang.

Di tempat lain di Klang, peniaga yang menjual barangan sembahyang seperti patung berhala dan kayu colok juga melaporkan kejatuhan jualan, walaupun perniagaan mereka tidak seteruk penjual makanan dan buah.

Lim Boon Hong, 52, berkata paras jualan pada 20% tetapi beliau masih mendapat keuntungan daripada patung berhala atau Jin Yin Zui yang dijual di kedai bapanya sejak 50 tahun lalu.

“Semua orang yang bersembahyang pada perayaan Tahun Baharu China terpaksa membeli patung berhala dan kayu colok. Hanya sama ada anda beli banyak atau sedikit,” kata Lim di kedainya di Jalan Nenas, di pusat bandar.

Seberang jalan dari kedai Lim, Calvin Khoo yang juga menjual Jin Yin Zui, bagaimanapun agak pesimis dan mendakwa jualan jatuh hingga 40% tahun ini.

Khoo mendakwa harga patung berhala naik akibat GST kerana kertas warna yang digunakan untuk membuatnya perlu diimport.

Kayu colok juga terpaksa diimport, jadi nilai ringgit yang rendah menyebabkan kenaikan harga tahun ini kira-kira 20%.

“Tahun ini sangat teruk, saya salahkan GST,” kata Khoo.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .