» » » Dr Mahathir kini penaung kumpulan penentang dalam UMNO untuk tuntut keadilan dan kebenaran


Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini secara rasmi menjadi penaung kepada kumpulan penentang dalam Umno, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) dalam usaha mendesak Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Perkara itu diumumkan GKCM dalam satu kenyataan sejurus pertemuan dengan Dr Mahathir semalam.

"GKCM melakar satu lagi sejarah dalam gerakan mereka apabila Tun Mahathir mengisytiharkan secara rasmi untuk menjadi penaung kepada GKCM dan bekerjasama dalam program-program yang dianjurkan gabungan ini.

"Tun menyatakan pendiriannya ini ketika pertemuannya dengan 21 orang Jawatankuasa GKCM pusat yang diadakan di pejabatnya di Yayasan Al Bukhari di Kuala Lumpur," kata GKCM dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan kerjasama ini, Dr Mahathir juga akan bersama-sama menyertai program kumpulan itu dan menyusun strategi dalam usaha menyelamatkan parti utama kaum Melayu itu.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir juga melahirkan rasa bangga dengan keberanian yang ditunjukkan GKCM dan kemajuan dicapai kumpulan iti walaupun baharu sahaja ditubuhkan.

"Tun melahirkan rasa bangganya terhadap kemajuan yang dicapai GKCM dalam masa yang amat singkat.

"Tambah membanggakan ialah GKCM merupakan golongan berani bersuara bagi menyatakan kebenaran di dalam Umno sendiri," katanya.

GKCM juga berkata, Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya terhadap kemelut dihadapi dalam Umno dan mereka tidak lagi relevan kepada rakyat.

"Tun sekali lagi mengulangi kebimbangannya kerana golongan cerdik pandai makin lama makin terhakis di dalam Umno.

"Kehadiran GKCM berjaya mengimbangi golongan yang banyak merosakkan parti," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir juga menyifatkan GKCM sebagai pengimbang pada ketika Umno sedang bergolak dan dapat membantu untuk menguatkan parti iti.

Pergerakan GKCM bermula November tahun lepas dalam usaha memaksa Najib melepaskan jawatan susulan skandal kewangan dan beberapa keputusan kontroversi menyaksikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal tersingkir daripada Kabinet kerana lantang mengkritik pentadbirannya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .