Biarpun hanya meraih tempat ketiga di dalam D’Academy Asia di Jakarta, Indonesia, telah menjadi platform terbaik punya penyanyi Shiha Zikir,29, untuk memanjangkan langkah kerjayanya di negara jiran tersebut.
Peminat di sana juga dilihat menerima baik kehadiran Shiha sehingga wujud kelab peminat di sana.
Justeru bagi Shiha, ini kesempatan terbaik buat dirinya untuk mula mengatur langkah menembusi pasaran luar. Bukan sahaja di Indonesia, beliau juga berharap ada peluang mencuba nasib di Brunei dan Singapura yang turut menghantar penyertaan sama.
“Jika diberi peluang untuk memulakan kerjaya di Indonesia, pasti saya tidak menolak. Bukan mudah untuk orang luar menembusi pasaran muzik di sana.
“D’Academy Asia telah menjadi platform buat saya memperkenalkan bakat ke empat negara yang bertanding iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Kata orang, kalau ada rezeki jangan ditolak,” ujar Shiha.
Shiha maklumkan penyertaan dalam program tersebut telah membuka mata banyak pihak yang selama ini mungkin memandang sepi bakat bekas peserta Mentor 5 ini.
Selain itu, pengikut di laman sosial Shiha sendiri mula meningkat. Kata Shiha bilangan pengikut di Instagram dari jumlah 120 ribu telah meningkat kepada 500 ribu selepas pulang semula ke Malaysia.
Ketika peringkat akhir program tersebut, Shiha tewas kepada dua peserta Indonesia iaitu Danang yang bergelar juara dan Lesti di tempat kedua.
Peminat sedia maklum Shiha mengalami masalah vokal pada malam kedua peringkat akhir sehingga hampir mahu menarik diri. Ketika ini, Shiha memberitahu masih lagi dalam rawatan pakar dan tidak boleh terlalu banyak bercakap.
“Saya akan tangguhkan dahulu komitmen pada lakonan kerana mahu lebih fokus pada nyanyian. Lagi pun berlakon pasti akan mengambil masa yang lama di lokasi, jadi lebih baik fokus pada satu kerja sahaja.
“Apa pun saya serahkan segala-galanya kepada Tuhan. Jika ada rezeki saya, maka akan teruslah saya menyanyi,” katanya lagi.
No comments: