Membuka tirai tahun baharu sama seperti memulakan bacaan sebuah buku yang belum pernah dibaca. Tidak tahu apa isi kandungannya apatah lagi bagaimana ia akan berakhir. Namun sudah pasti setiap pembaca mahu jalan cerita dan kesudahannya yang menarik dan memuaskan hati semua.
Tinjauan yang dibuat pada orang ramai mengenai apa harapan mereka sempena tahun 2016. Sementelah 2015 dilihat sebagai tahun yang suram bagi sesetengah orang.
Rata-rata mahukan kehidupan yang lebih baik, kurang stress dan yang paling penting kos sara hidup turun.
Menurut seorang suri rumah, Roslina Din, kehadiran 2016 diharapkan memberikan lebih banyak kebahagiaan kepada keluarganya dan dalam masa yang sama, dia turut berharap agar kerajaan melakukan sesuatu untuk mengekang peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan kebelakangan ini.
“Kehidupan baik, Alhamdulillah tetapi kadang-kadang stress bila tengok harga barang naik sehingga tidak masuk akal. Tidak tahu hendak buat macam mana lagi sebab nilai wang semakin kecil tetapi keluarga semakin besar. Anak-anak sedang membesar dan persekolahan mereka memerlukan perbelanjaan yang lebih.
Saya harap pada 2016 ada langkah yang boleh diambil kerajaan supaya dapat mengurangkan peningkatan harga barang dan kos sara hidup yang naik secara mendadak ini,” katanya.
Nada yang sama disuarakan oleh Sabarisah Abdullah yang semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup terutama selepas pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pengurangan subsidi beberapa barangan sepanjang tahun 2015.
“Harga barang semakin hari semakin mahal. Gaji pula naik sedikit sahaja. Ada GST kemudian kadar tol pula dinaikkan, jadi macam mana kami mahu hidup?
"Harap kerajaan buat sesuatu. Rakyat tertekan,” katanya yang merupakan suri rumah.
Bagi seorang eksekutif pentadbiran swasta, Cindy Philip, dia berharap kadar gaji di Sarawak dan Semenanjung diseleraskan supaya beliau boleh berkhidmat di kampung halamannya.
“Saya mahu pulang ke Sarawak tetapi di sana bayaran gajinya sangat rendah. Tidak berbaloi berbanding di Semenanjung. Saya harap ianya boleh diseleraskan dan saya pastinya mahu pulang untuk berkhidmat di Sarawak,” katanya.
Bagi Fatini Abdul Talib, seorang pembantu kedai, tahun 2016 diharapkan memberikan lebih banyak rezeki kepadanya.
“Semoga gaji saya meningkat pada tahun ini kerana susah hendak membeli barang jika gaji kecil. Harga barang semakin mahal,” jelasnya.
sumber
No comments: