» » Gesa Raja Melayu dan ahli politik yang tidak korup segera selamatkan Malaysia yang semakin parah dimamah rasuah


Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin berharap ahli-ahli politik Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah serta raja-raja Melayu akan bertindak segera untuk memastikan negara dan ekonominya tidak merosot.

Dalam blognya, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah kehilangan kewibawaan dan autoriti moral untuk memerintah negara ini sejak memenangi pilihan raya umum 5 Mei 2013, berikutan skandal yang dihadapinya.

Ini, kata Kadir meskipun jentera propaganda Najib mendakwa sebaliknya berhubung projek cetusan ilham perdana menteri, 1MDB.

Menurutnya, sejak 4 Januari lalu, apabila Bursa Malaysia dibuka untuk tahun baru 2016, ia jatuh 3.53 peratus dalam masa sembilan hari perniagaan dan pasaran saham merosot lagi hari ini.

“Menurut majalah The Economist, antara 31 Disember 2014 hingga 6 Januari lalu, Bursa Malaysia jatuh 5.3 peratus dalam nilai ringgit dan 24.6 peratus dalam nilai dolar Amerika.

“Perdana Menteri dan jentera propaganda beliau mendakwa skandal perniagaan atas angin 1MDB sudah selesai apabila dua aset utamanya – penjana elektrik bebas (IPP) dan Bandar Malaysia - dijual kepada pemodal Negeri China,” katanya.

Wartawan veteran itu berkata di kalangan pelabur, penganalisis pasaran dan agensi penarafan naik turun pasaran saham adalah ukuran keyakinan pemodal terhadap sesuatu perkembangan penting.

“Kejatuhan berterusan Bursa Malaysia membayangkan penolakan pemodal terhadap penyelesaian skandal 1MDB dan kurang keyakinan kepada pemerintahan Najib,” katanya.

Kadir berkata, jika pasaran saham bukannya satu-satu kayu pengukur, keyakinan yang merosot terhadap Najib juga terserlah apabila agensi penarafan antarabangsa Moody's menyemak turun penarafan ekonomi Malaysia daripada positif kepada stabil.

Katanya, pada aras stabil, kerajaan terpaksa membayar kadar faedah yang lebih tinggi jika ia meminjam.

Beliau berkata dalam keadaan di mana pendapatan kerajaan semakin berkurangan akibat kejatuhan berterusan harga minyak mentah, perbendaharaan mungkin terpaksa berhutang.

“Dasar fiskal Najib, khususnya penghapusan subsidi dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), adalah bertujuan, antara lain, mengambil hati agensi penarafan antarabangsa agar tidak merendahkan penarafan Malaysia.

“Yang sebaliknya berlaku. Rakyat jelata menderita, penarafan Malaysia jatuh juga,” katanya.

Walaupun sesetengah pihak percaya penyelesaian mungkin terletak pada pilihan raya umum ke-14, Kadir tidak yakin ia akan menjadi begitu kerana bimbang bahawa pada masa itu, Malaysia sudah menjadi negara gagal, rakyat jelata papa kedana dan usaha memulihkan ekonomi menjadi amat sukar.

“Malah tidak ada jaminan bahawa pilihan raya umum akan diadakan, dan kalau diadakan sekalipun belum tentu parti baru akan berkuasa.

“Berjaga-jagalah. Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 memberi kuasa yang amat luas kepada perdana menteri,” katanya.

Justeru, Kadir berkata jika ada sesiapa yang berasa berkewajipan dan berupaya mengubah keadaan dan menyelamatkan negara, orang itu perlu bertindak segera atau disyaki telah disajikan dedak.

“Tidak kiralah Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin atau sesiapa saja – perlulah bertindak segera atau disyaki telah disajikan dedak.

“Dalam hubungan yang sama, Raja-raja Melayu turut terbabit kerana para Baginda sudah pun mengeluarkan kenyataan pada 6 Oktober lalu yang sekali gus menaikkan semangat dan harapan rakyat jelata bahawa merekalah pelindung dan penyelamat mutakhir rakyat jelata dan negara.

“Rakyat jelata sudah tahu Raja mana berpendirian apa. Jangan salahkan rakyat jelata. Bukan semua rakyat jelata jahil dan boleh disuap dedak. Lagipun, bilangan Raja-raja Melayu bukanlah ramai sangat – sembilan orang saja,” katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .