Pelakon dan penyanyi Amy Mastura, 44, sekali lagi tampil di pentas Istana Budaya bagi menjayakan teater Zombie La La La yang bakal berlangsung Februari tahun depan.
Amy bakal bergandingan dengan muka-muka baru seperti Amar Baharin, Janna Nick dan Hafreez Adam dalam teater arahan Erma Fatima ini.
Sekalipun punya pengalaman luas dalam bidang teater, itu tidak bermakna Amy boleh ambil mudah dengan tugasan yang diberikan kali ini. Malah beliau sendiri cukup teruja mahu bekerjasama dengan pelakon yang lain.
Dalam masa yang sama, Amy juga sedar untuk memberi ruang buat pelakon muda menyerlah di pentas sebagai teraju utama.
“Perlulah sedar diri… sampai bila saya mahu pegang watak utama? Pelakon pembantu juga penting dalam sesebuah pementasan. Malah sebelum ini pun saya sering melihat kepentingan watak pembantu.
“Saya seronok berlakon dengan bakat-bakat baru kerana mereka juga punya cara tersendiri dalam lakonan. Jadi saya sendiri boleh belajar sesuatu yang baru daripada mereka,” ujar Amy kepada Mangga Online.
Zombie La La La mengisahkan sekumpulan zombi yang berasal dari China, Amerika Syarikat, Indonesia, Mexico, Thailand dan Mesir belayar ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan formula yang dapat mengembalikan kecantikan mereka.
Pelbagai insiden berlaku sepanjang perjalanan mereka dan menerusi pementasan ini, sedikit sebanyak akan memperkenalkan tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur.
Lanjut bercerita tentang kerjaya nyanyian pula, Amy memberitahu masih punya kontrak satu album bersama syarikat rakaman Sony Music Malaysia. Bagaimanapun ibu kepada dua cahayamata perempuan ini tidak mahu tergesa-gesa menyiapkan album tersebut memandangkan pasaran jualan album yang tidak menentu.
“Sekarang ini kalau ikutkan trend lebih ramai penyanyi menghasilkan single dahulu dan kemudian dikumpulkan dalam satu album.
“Saya tidak kisah untuk tunggu album saya nanti kerana setiap tahun syarikat rakaman pasti akan keluarkan sebuah single baru buat saya.
“Rasanya tampil dengan single lebih dihargai kerana peminat akan memberi perhatian pada lagu tersebut,” jelas Amy.
No comments: