Impak positif dari drama Hello Mr Perfect, membuatkan nama bintang baru Ruhainies, 23, semakin mendapat perhatian ramai termasuk peminat-peminat yang cuba mendekatinya di laman sosial.
Ketika drama tersebut hangat ditayangkan di slot Akasia TV3, Ruhainies mengakui menerima hampir 500 pesanan di laman sosial setiap hari daripada peminat.
Bukan sekadar mahu mengenali dirinya, malah ada yang keterlaluan sehingga mengajak berjumpa dan mengajak bercinta.
“Sehingga sekarang pun masih ramai yang menghantar pesanan ke inbox laman sosial saya. Ramai yang meminta nombor telefon untuk kenal lebih rapat. Tak kurang juga yang mahu ajak saya keluar dating dan bercinta.
“Saya rasa takut menerima pesanan begitu dan saya akan abaikan sahaja mereka. Tidak kisahlah jika mereka kata saya sombong kerana tidak rugi saya mengabaikan golongan sebegitu. Lebih baik berdiam sahaja,” ujar Ruhainies kepada Mangga Online.
Adik kepada pelakon Nur Risteena ini juga sering ingat pesan kakaknya supaya lebih berhati-hati dan bersabar dengan golongan ‘keyboard warrior’.
“Kakak ada berpesan supaya jangan ambil peduli apabila menerima komen-komen yang tidak betul. Apa yang penting ialah jangan cepat melenting.
“Apabila sudah menjadi public figure seperti sekarang ini, pasti ada golongan haters selain mereka yang betul-betul meminati saya,” katanya.
Bercakap soal hati, Ruhainies memaklumkan masih solo dan belum mahu mencari cinta. Beliau punya matlamat yang ingin dicapai sebelum memikirkan teman istimewa.
“Sekarang memang saya tidak ada teman lelaki. Belum tiba masanya untuk saya fikirkan semua itu.
“Saya ada matlamat yang ingin dicapai. Sebelum bercinta saya mahu fokus kerja dahulu supaya dapat membawa kedua-dua ibu bapa menunaikan ibadah haji dan membeli rumah sendiri.
“Bagaimanapun, saya tidak menolak jika cinta datang dalam tempoh saya mahu mencapai matlamat tersebut. Cuma bukan keutamaan saya untuk mencari pasangan hidup dalam masa terdekat.
“Saya mahu mencari seorang lelaki yang berkerjaya dan komited pada kerjanya. Biarlah dia seorang yang boleh menyayangi saya dan keluarga nanti,” jelas Ruhainies.
No comments: