» » Pos Malaysia harus lakukan perubahan dan membuat penambahbaikan


Pos Malaysia Berhad harus melakukan perubahan minda serta membuat penyesuaian bagi menghadapi cabaran sukar pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, cabaran pada masa hadapan amat besar bukan sahaja bagi pihak Pos Malaysia malahan pihak kerajaan juga ekoran kemelesetan ekonomi dunia.

"Ledakan arus teknologi telah menjadikan Pos Malaysia kini berada dalam situasi yang sukar, namun kita harus mengurus perubahan dengan cekap. Kita perlu melakukan perubahan minda serta membuat penyesuaian nilai dan norma yang menjadi pegangan kita.

"Oleh itu, pencapaian kualiti memerlukan perubahan. Jika kita tidak berubah seiring dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi maka kita akan ketinggalan," katanya dalam ucapan beliau pada majlis perasmian penutup Persidangan Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Bhd (UPUS),di sini, hari ini.

Bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Sept, 2105, keuntungan sebelum cukai Pos Malaysia susut kepada RM6.09 juta berbanding RM49.60 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut Pos Malaysia, penurunan itu berpunca daripada sumbangan rendah daripada keuntungan segmen surat dan runcit disebabkan kos pengangkutan untuk perniagaan penghantaran kapal serta perakuan kiriman pos yang luput pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Jailani berkata perkembangan Industri E-Dagang telah memberi nafas baharu bagi Pos Malaysia untuk terus berkembang maju bagi tempoh akan datang.

"E-Dagang misalnya, telah membuka satu pasaran baharu bagi Pos Malaysia untuk terus berkembang maju disamping bersaing dengan syarikat-syarikat kurier lain.

"Pihak kerajaan juga melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersedia untuk mengkaji semula kadar perkhidmatan pos bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya..



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .