Susulan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan Dewan Negara Selasa lalu, kini terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat "pindaan yang sesuai" kepadanya sebelum ia dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Lim Kit Siang hari ini.
Ahli Parlimen DAP itu berkata, rang undang-undang kontroversi itu memecahbelahkan negara kerana ia menandakan satu "perebutan kuasa yang bertentangan dengan Perlembagaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini".
Ia juga, kata wakil rakyat Gelang Patah itu dalam satu kenyataan hari ini, membuatkan kuasa Agong mengisytiharkan darurat "redundant" (berlebihan).
"Seluruh negara menunggu keputusan Najib – adakah perdana menteri akan menangguhkan langkah mendapatkan perkenan Agong untuk rang undang-undang itu sehingga pindaan sesuai dilakukan atau tidak?
"Keputusan di tangan Najib," kata Lim.
Katanya, rang undang-undang itu terdedah kepada penyalahgunaan memandangkan ia memberi kuasa kepada perdana menteri mengisytiharkan kawasan zon keselamatan, memintas Agong dan Kabinet.
Lim menuduh Najib berada di dalam keadaan "terdesak memerlukan kuasa yang berbahaya seperti itu" kerana beliau sedang bertungkus lumus untuk kekal sebagai perdana menteri.
"Jika rang undang-undang itu digubal khusus untuk menangani ancaman keganasan yang ditimbulkan Isis (Negara Islam Iraq dan Syria), perkara yang logik dilakukan ialah meletakkan MKN di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota).
"Bukannya dengan mewujudkan sebuah badan eksekutif baru yang lebih berkuasa daripada Kabinet, dengan kuasa yang luas dan baru," kata Lim.
Rang undang-undang itu diluluskan tanpa sebarang pindaan di Dewan Negara pada Selasa malam, dan kini terserah kepada Agong memberi perkenan baginda sebelum ia menjadi undang-undang.
Ia membolehkan sebuah MKN baru, yang dipengerusikan perdana menteri, mengisytiharkan zon keselamatan, selangkah sebelum pengisytiharan darurat yang merupakan tanggungjawab Agong.
Sebaik sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai zon keselamatan, tangkapan boleh dibuat tanpa waran.
Semasa perbahasan di Dewan Negara, senator Barisan Nasional dilaporkan turut menyuarakan kebimbangan mereka berhubung rang undang-undang itu dan menggesa kerajaan membuat pindaan.
sumber
No comments: