Esok akan menjadi ujian pertama solidariti blok pembangkang, Pakatan Harapan yang merangkumi DAP, PKR, dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk melakukan usul undi menolak Bajet 2016 di Parlimen yang akan dibacakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Lim Kit Siang.
Ketua Parlimen DAP itu berkata, beliau bagaimanapun tidak melihat perkara itu akan berlaku kerana tiada 40 ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) yang bersama-sama 71 ahli Parlimen Pakatan Harapan untuk menolak bajet berkenaan.
"Pakatan Harapan mempunyai 72 ahli Parlimen tetapi akan hanya ada 71 undi memandangkan saya digantung Parlimen selama 6 bulan kerana mempersoalkan cara Najib menguruskan skandal derma RM2.6 bilion.
"PAS pula mengumumkan ahli Parlimen mereka tidak akan menyokong usul menolak Bajet 2016. Adakah 40 ahli Parlimen Umno, BN akan menyokong Pakatan Harapan?" katanya ketika berucap dalam program bersama Amanah di Johor Baru, malam tadi.
"Saya tidak melihatnya akan berlaku, bukan kerana tiada ahli Parlimen Umno, BN yang tidak berpuas hati dengan Bajet 2016, tetapi kerana keadaan politik yang tidak memihak mereka untuk mendedahkan diri kerana bakal berhadapan tindakan disiplin daripada parti mereka," kata Lim.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu bagaimanapun berkata, keadaan berbeza mungkin berlaku sekiranya sekumpulan 40 ahli Parlimen Umno, BN itu boleh bersama-sama mengundi menolak Bajet 2016 yang akan menyebabkan perletakan jawatan Najib jika pengundian dijalankan secara rahsia di Parlimen esok.
"Tiada siapa percaya speaker Parlimen yang menggantung saya akan bersetuju dengan undi rahsia ahli Parlimen untuk menyokong atau menolak Bajet 2016.
Walaupun usaha Pakatan Harapan menolak Bajet 2016 mungkin tidak berjaya, Lim berkata terdapat keperluan menyuarakan suara rakyat untuk menolak bajet itu.
Lim sebelum ini digantung sidang Dewan Rakyat selama 6 bulan kerana enggan menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia apabila mengatakan beliau salah guna kuasa melarang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneruskan prosiding mereka meskipun tanpa pengerusinya.
Sementara Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang memilih untuk berkecuali dalam menolak usul Bajet 2016 sebagai mengkhianati amanah rakyat, lapor akhbar Sinar Harian.
Menurut ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, ini kerana bajet yang dibentangkan Najib bulan lalu jelas memperlihatkan sesuatu yang membebankan rakyat terutama daripada pemotongan dana pendidikan dan isu pengutipan besar hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Raja Bahrin berkata, rakyat menghantar wakil mereka ke Parlimen untuk mereka membuat keputusan, namun tidakan berkucuali itu menunjukkan mereka tidka melaksanakan amanah yang diberikan.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang bersikap sedemikian.
Sebelum ini dilaporkan, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan PAS serta ahli Parlimennya akan mengambil tindakan berkecuali sebulat suara untuk tidak menyokong undi penolakan bajet itu.
Presiden PAS itu berkata, dasar parti Islam itu ialah menyokong perkara positif untuk rakyat.
Raja Bahrin berkata, di akhir perbahasan Bajet 2016 esok, akan terdapat usul untuk menerima atau menolak dan ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan sudah bersetuju untuk menolak bajet berkenaan.
“Antara yang kita pembangkang tentang bajet kali ini ialah berkaitan pengutipan RM39 bilion hasil daripada GST padahal pada pengundian GST tahun lepas, boleh dikatakan 100% pembangkang menolak GST.
“Ini satu dasar yang kita tolak, kerana apabila menjadi sebahagian daripada bajet akan datang dan kita mengiakannya, ia sesuatu yang susah kita nak faham kerana jumlahnya cukup besar dan dikutip daripada semua pihak, termasuk yang miskin.
“Sepatutnya kerajaan mencari cara baharu tanpa menyusahkan rakyat untuk menambah peruntukan tetapi tidak, mereka mengambil dengan cara senang dan menggunakan GST,” katanya.
Tambahnya, perkara lebih membimbangkan adalah pemotongan peruntukan pendidikan sebayak 17% sambil menyifatkannya sebagai satu langkah ke belakang.
“Macam mana kita boleh katakan ia bajet yang boleh diterima. Itu kita tak faham, ada rakan kita dalam pembangkang yang nak berkecuali.
“Ini bukan satu perkara yang kecil tetapi untuk membela orang yang susah. Ini salah satu sebab kenapa kita mesti tolak,” katanya.
No comments: