Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan berkata kebimbangan mengenai kemungkinan kenaikan berkenaan disuarakan dalam rundingan mengenai TPPA.
Berikutan itu, katanya, beberapa negara TPPA mencadangkan agar Peraturan Perlindungan Data (RDP) dilanjutkan kepada 12 tahun.
"Bagaimanapun, kesudahannya, semua negara TPPA bersetuju RDP itu ditetapkan selama 5 tahun. Bagi Malaysia sendiri, tiada sebarang perubahan kerana RDP semasa sememangnya ditetapkan selama lima tahun," katanya kepada media susulan rundingan TPPA terhadap pertumbuhan ekonomi dan perlindungan harta intelektual, di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, sepertimana negara lain yang mencadangkan lanjutan tempoh RDP berkenaan, kerajaan Malaysia juga selama ini memberi subsidi bagi kos perubatan di hospital awam.
"Cuma, kita tidak mempunyai nama khusus seperti sistem insurans kesihatan kebangsaan yang dilaksanakan di negara berkenaan.
"Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan kenaikan kos perubatan serta harga ubat-ubatan," katanya.
Menurut laporan media, tempoh RDP yang lebih lama akan membawa kepada peningkatan harga ubat-ubatan kerana maklumat mengenainya tidak didedahkan kepada pasaran.
Ia akan membawa kepada monopoli dan seterusnya meningkatkan harga ubat-ubatan kerana maklumatnya yang hanya terhad kepada pihak pengeluar.
Dalam rundingan TPP itu, Amerika Syarikat dan Jepun mencadangkan agar RDP membabitkan ubat-ubatan biologi dilanjutkan dan diselaraskan dengan amalan di beberapa negara lain.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan yang ia akan disusuli peningkatan perbelanjaan awam yang melibatkan ubat-ubatan selain turut mengehadkan akses bagi pengeluar ubat-ubat generik.
Kajian oleh Ideas baru-baru ini menunjukkan kebimbangan itu tidak berasas berdasarkan pengalaman lampau Kanada dan Jepun.
Kedua-dua negara itu memiliki sistem insurans kesihatan yang merangkumi hampir kesemua kos penjagaan kesihatan, termasuk ubat-ubatan.
sumber
No comments: