» » Pemimpin UMNO minta siasat dakwaan 1 keluarga yang dikatakan membolot 26 jawatan dalam YAPEIM


Seorang pemimpin UMNO dari Kelantan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyiasat dakwaan berhubung satu keluarga yang dikatakan membolot sehingga 26 jawatan dalam Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, siasatan perlu dilakukan segera bagi membersihkan nama baik parti, yang mana persepsi rakyat terhadap pemimpinnya telah terjejas teruk dengan tersebar luas isu itu.

"Jangan kerana seorang dua orang UMNO dan pemimpin UMNO, kami semua pula digelar penyamun," tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas.

Md. Alwi berkata demikian merujuk isu melibatkan satu keluarga politik yang dikatakan membolot 26 jawatan dalam YaPEIM dengan jumlah gaji diperolehi sebanyak RM154,700 sebulan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui hatinya pedih, luka dan marah jika kes sedemikian benar dan dibiarkan berlaku tanpa ada tindakan diambil.

"Tidak adakah pihak atasan mengambil berat isu ini? Janganlah kerana seorang dua, kami pula digelar penyamun. Persepsi ini harus dan wajib ditangani segera," tegasnya.

Dua hari lalu, sebuah badan bukan kerajaan National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW) mendedahkan seorang pemimpin Wanita UMNO di Kelantan menerima gaji bulanan sebanyak RM45,500 daripada tujuh jawatan yang dipegangnya, manakala anak lelaki beliau dibayar gaji RM31,200 sebulan dan suaminya pula mendapat RM5,000 setiap bulan.

Pendedahan itu kemudian menjadi bualan negatif orang ramai terhadap UMNO dan pemimpinnya yang disamakan dengan penyamun.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .