Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) tidak digunakan untuk melindungi perasuah sebaliknya melindungi integriti kerajaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Razali Ibrahim hari ini.
Beliau menafikan tuduhan terhadap akta kontroversi itu seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (PAS).
"Tuduhan mengatakan ia melindungi perasuah, itu saya perlu nafikan.
"Tidak ada pendakwaan di bawah OSA terhadap perkara berkaitan yang dikatakan," kata Razali pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini.
Mahfuz bertanya sama ada kerajaan berminat meminda OSA susulan cadangan dibuat ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tahun lalu.
Razali menegaskan OSA tidak digunakan untuk menutup mulut individu yang membuat pendedahan mengenai rasuah atau salah laku kerana pembocor rahsia dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pembocor Rahsia 2010.
"Kita tidak melindungi perasuah, sesiapa yang membuat pendedahan, mereka dilindungi bawah Akta Perlindungan Pembocor Rahsia," katanya.
Beliau berkata, OSA digunakan untuk menjaga integriti sesebuah kerajaan supaya ia tidak menjejaskan struktur dan aturan pentadbiran negara.
"OSA untuk jaga integriti. Siapa ada kawalan dalam sesebuah dokumen, kalau tidak patut dikongsi, kerana ia akan menganggu perkara yang dirancang," katanya.
Menurut Razali, sepanjang 1972 hingga 2000 terdapat 8 kes pendakwaan di bawah OSA, bagaimanapun selepas 2000 hingga 2015 tiada sebarang pendakwaan.
Tengku Razaleigh tahun lalu mencadangkan OSA dikaji semula dalam usaha membendung masalah rasuah di negara ini.
Menurut veteran Umno itu, akta tersebut berkemungkinan menyembunyikan dosa termasuk perbuatan rasuah.
sumber
No comments: