Kerajaan dijangka tidak lagi mengawal harga kenderaan yang dijual di Malaysia menerusi pematuhan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), berbanding ketika ini kelulusan kerajaan diperlukan sebelum ia memasuki pasaran, lapor Utusan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamad Madani Sahari dipetik berkata, menjelang 2021, pasaran dijangka lebih liberal dan ditentukan permintaan serta penawaran dalam industri, sekali gus membuatkan harga kenderaan menjadi lebih kompetitif.
"Kerajaan tidak akan lagi mengawal harga kenderaan sepertimana waktu ini. Permintaan dan penawaran dalam pasaran akan menjadikan faktor utama yang akan menentukan harga kereta oleh syarikat pengeluar," katanya kepada Utusan Malaysia.
TPPA, yang dipersetujui 12 negara termasuk Malaysia bulan lalu, akan dijadikan piawaian dalam aspek pemansuhan halangan-halangan perdagangan dan pelaburan sama ada bentuk tarif dan bukan tarif.
Jepun merupakan satu daripada negara dalam pembentukan perjanjian tersebut yang mahukan liberalisasi industri automotif dengan harapan syarikat automotifnya dapat menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan lebih mudah.
Bagaimanapun, kata Madani, pihaknya akan membuat penerangan lanjut bagaimana TPPA bakal memberi impak terhadap industri automotif tempatan.
"Apa yang boleh saya gambarkan sekarang ialah, TPPA akan menawarkan lebih banyak manfaat untuk industri automotif dan pemain industri dan pengguna akan mendapat faedahnya," katanya.
sumber
No comments: