Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan salah guna wang anak yatim di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) dan mahu menteri yang bertanggungjawab disiasat.
Akmal berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap skandal didedahkan pertubuhannya itu.
"Setelah didedahkan bagaimana wang Yapeim bukan digunakan untuk tujuan amal jariah, tiba masa dibawa ke pihak bertanggungjawab. Kita nak siasatan polis dilakukan.
"Bila laporan polis dibuat, sewajarnya satu kertas siasatan dibuka. Bila kita buat laporan, kita nak pihak berkenaan disiasat sama ada berlaku unsur salah guna kedudukan, salah guna kuasa atau pecah amanah," kata Akmal pada sidang medianya sejurus laporan polis itu dibuat.
Akmal tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 1.30 petang dan selesai kira-kira setengah jam kemudian.
"Kita harap polis boleh mulakan siasatan dan harap ia dapat merungkai skandal yang dilaporkan.
"Kita buat laporan ini demi pembangunan ekonomi Islam dan sumbangan daripada Yapeim," katanya dan menambah, ini kerana pencarum Yapeim membabitkan seramai 580,000 orang.
Sehubungan itu, pihaknya meminta agar siasatan menyeluruh dilakukan terhadap lembaga pemegang amanah Yapeim, termasuk menteri bertanggungjawab menguruskan hal ehwal keagamaan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
"Bagi saya mereka yang patut disiasat adalah individu berkaitan Yapeim. Lembaga pemegang amanah dan menteri bertanggungjawab," katanya.
Akmal sebelum ini mempertahankan dakwaannya terhadap Jamil dan bertegas tidak mahu menarik balik kenyataannya atau memohon maaf kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu.
Jamil sebelum ini dilaporkan menggesa agar Akmal menarik balik dakwaannya atau berhadapan tindakan undang-undang.
Akmal bagaimanapun berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membuat pendedahan berhubung dakwaan salah guna wang anak yatim di bawah Yapeim dalam lawatan luar negara Jamil dan rombongannya tahun lepas.
Katanya, beliau tidak akan sesekali menarik dakwaannya itu atau membuat permohonan maaf terhadap Jamil dan sebaliknya berkata, menteri berkenaan sepatutnya memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu tersebut.
Turut difahamkan, Jamil juga akan membuat laporan polis hari ini pada jam 2 petang di Putrajaya.
"Saya hanya dapat khabar angin beliau akan buat laporan polis. Saya tak tahu apa tujuan beliau. Sebelum ini minta saya buat permohonan maaf, tapi sedar-sedar buat laporan polis pula," kata Akmal, merujuk kepada tindakan Jamil.
NOW sebelum ini pada sidang medianya mendakwa, Yapeim menggunakan wang daripada tabung anak yatim bagi membiayai perbelanjaan seorang menteri dan isteri serta rombongannya di Amerika Syarikat (AS) pada Mei 2014.
Beliau mendakwa, walaupun program tersebut bertujuan "pemantapan dan pemerkasaan" Kelab Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (Santun) Yapeim, namun ia bersifat suka ria dan langsung tiada amal jariah.
Katanya, rombongan menteri terbabit turut bermain golf dan mengunjungi pusat beli-belah "upscale outlet" barangan berjenama yang terletak di Washington DC sebanyak 4 kali.
Bertindak balas, Jamil kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan menafikan dakwaan Akmal dan menggesa ketua cabang PKR Johor Baru itu memohon maaf dalam masa 24 jam atas tuduhan yang disifatkan menghancurkan kredibilitinya sebagai seorang menteri.
sumber

No comments: