Persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau sekular hanya satu label semata-mata kerana apa yang penting, kata peguam Syahredzan Johan, rakyat Malaysia perlu memahami isi kandungan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Majlis Peguam itu berkata, undang-undang di negara ini sama ada syariah atau sivil, mesti melalui satu proses sekular.
Namun, mengenai isu sama ada Malaysia negara sekular atau tidak, beliau berpendapat definisinya berbeza bagi setiap negara.
"Sekular bagi seseorang tak semestinya sekular bagi yang lain.
"Contohnya kalau di Perancis, agama dan kerajaan itu memang berbeza dan tidak boleh ada apa-apa dicampuradukkan.
"Tetapi Jerman, ia masih negara sekular, tetapi kerajaan beri duit dan beri pertolongan kepada gereja di sana. Jadi, maksud sekular itu berbeza definisinya.
"Undang-undang di Malaysia pula, tak kisah sama ada syariah atau sivil, mesti melalui proses sekular," katanya pada forum "Jom Sembang: Malaysia Negara Islam atau Sekular?" di Universiti Malaya malam tadi.
Pada masa sama, beliau berpendapat tidak ada masalah juga menggelar Malaysia sebuah negara Islam jika pentadbirannya berlandaskan Islam.
Namun, katanya, jika sekadar gelaran, tetapi ciri ajaran Islam tidak dipraktikkan dalam pentadbiran negara, tidak ada faedahnya.
"Panggil negara Islam tapi duit anak yatim kita sapu, tak guna juga. Kita panggil negara Islam, tetapi kita zalim, tak guna juga.
"Jadi bagi saya, yang penting kita kena faham Perlembagaan. Kita kena lihat semula Perlembagaan. Itu paling penting, bukan pasal label negara Islam atau sekular," kata Syahredzan.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, peguam Aidil Khalid, juga sependapat dengan Syahredzan yang negara Islam dan sekular itu hanya merupakan satu label.
"Saya setuju dengan Syahredzan pada akhir penggulungan yang negara Islam atau sekular hanyalah terletak pada label, tetapi yang penting pengisiannya kita fahami," katanya.
Aidil berkata ia bukan isu baru tetapi sehingga kini ia masih jadi pertikaian.
Namun, di sebalik segala pandangan mengenai perkara itu katanya, ia sewajarnya dirujuk daripada aspek perundangan.
Katanya, Perlembagaan dipinda banyak kali, sejak zaman pemerintahan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman sehingga ke Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Hal ini bukanlah sesuatu yang janggal kerana isi kandungan Perlembagaan itu sendiri pada mulanya bukan dirangka penduduk atau rakyat tempatan, sebaliknya digubal orang asing," katanya.
Beliau berkata, hakikat sama ada Malaysia negara Islam atau tidak, bukan sesuatu yang penting untuk diputuskan.
Ini kerana, katanya, istilah "negara Islam" itu sendiri baru dirangka semata-mata sebagai reaksi sedih umat Islam terhadap kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah.
"Apa yang lebih utama daripada menentukan sama ada kita negara Islam atau tidak ialah untuk membuang dan memadamkan mitos kononnya negara ini negara sekular.
"Dengan terpadamnya mitos tersebut, diharapkan kita dapat kembali mengisi naratif negara bangsa ini dengan peruntukan Perlembagaan seperti sedia ada.
"(Perlembagaan) dengan jelas meletakkan Islam di tempat yang begitu tinggi sebagai agama negara tanpa perlu kita gaduhkan istilah berkenaan sama ada betul atau tidak negara ini negara Islam," katanya.
sumber
No comments: