» » Elaun insentif akan diberi kepada penjawat awam kumpulan pengurusan dan profesional


Kerajaan Negeri Johor akan memberikan elaun insentif khas kepada penjawat awam Johor di bawah kumpulan pengurusan dan profesional yang tidak diberi kemudahan kenaikan pangkat secara time based.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia akan melibatkan peruntukan kewangan berjumlah RM1.91 juta setahun dan akan berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.

"Elaun ini akan diberi kepada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional penjawat awam kerajaan negeri Johor (JCS) yang berjawatan tetap dan telah berkhidmat melebihi lapan tahun ke atas.

"Terdapat kekangan bagi kenaikan pangkat dan imbuhan gaji sesetengah golongan itu kerana skim kenaikan pangkat yang sedia ada kurang anjal dan terhad.

"Akhirnya, ramai anggota JCS yang tidak menikmati imbuhan dan faedah selayaknya," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2016 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, elaun tersebut juga akan turut diberikan kepada pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun negeri tertakluk kepada kemampuan kewangan masing-masing.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri berterima kasih kepada penjawat awam di negeri ini yang bekerja keras menjayakan segala agenda pembangunan kerajaan negeri dan adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memberikan ganjaran setimpal kepada golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga pada dasarnya bersetuju dengan cadangan bajet persekutuan untuk memberikan bayaran khas RM500 kepada semua penjawat awam di negeri ini.

Kerajaan negeri juga bersetuju dengan pelaksanaan pemberian satu insentif pergerakan gaji kepada semua penjawat awam pada tahun 2016 tertakluk kepada garis panduan dan pekeliling yang akan diselaraskan dengan kerajaan persekutuan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .