Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini turut mengulas mengenai isu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) apabila beliau berkata Putrajaya mungkin menganjurkan kursus perkahwinan di Paris untuk belajar tentang komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Yapeim baru-baru ini dilaporkan membelanjakan RM290,000 untuk dua kursus perkahwinan di Paris, yang didakwa bagi membendung ancaman LGBT.
"Jika anda pergi ke Paris, anda akan melihat ramai golongan LGBT. Mungkin mereka mahu belajar tentang LGBT," kata Dr Mahathir pada satu sidang media selepas melancarkan buku baru Datuk Zaid Ibrahim "Assalamulaikum".
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberikan penjelasan mengenai usaha membendung LGBT ketika menjelaskan mengenai penganjuran kursus perkahwinan di Paris baru-baru ini.
Yapeim, yang objektif utamanya ialah melakukan kerja-kerja amal, juga didakwa menggunakan dananya untuk satu rombongan turut mengunjungi pusat membeli-belah dan menyertai permainan golf ketika menganjurkan kursus di Amerika Syarikat, kata Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).
Dr Mahathir bagaimanapun enggan mengulas mengenai kontroversi Yapeim itu.
Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap pengarah NOW, Akmal Nasir, berhubung dakwaan itu.
"Saya difahamkan dia mengambil tindakan undang-undang. Oleh itu, kita tunggu dan lihat saja," kata Dr Mahathir.
No comments: