Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), mungkin ditandatangani di New Zealand pada Februari, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri New Zealand John Phillip Key semasa mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) ke-23 di Manila.
"John Key juga memaklumkan kepada saya, ada kemungkinan perjanjian ini ditandatangani di New Zealand pada awal bulan dua, sekiranya dalam konteks Malaysia, Parlimen memberi persetujuan kepada TPPA," katanya kepada pemberita di Manila, di mana kesemua 12 pemimpin negara terlibat TPPA bertemu buat kali pertama selepas teks perjanjian perdagangan itu dikeluarkan.
Mesyuarat itu dihoskan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama.
Najib, yang juga menteri kewangan, berkata beliau menjelaskan kepada perdana menteri New Zealand mengenai proses ratifikasi Malaysia.
Beliau berkata kerajaan akan terus memperbanyakkan perbincangan dengan pihak berkepentingan sehingga TPPA dibahaskan di Parlimen pada Januari supaya setiap orang memahami peluang dan cabaran di bawah TPPA.
Negara-negara yang terlibat TPPA menyumbang hampir 40% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia dan ketiga kepada perdagangan global.
Apec terdiri daripada 21 anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Daripada 21 negara itu, 12 negara terlibat dengan TPPA.
Anggota Apec yang tidak terlibat dengan TPPA ialah China, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Papua New Guinea, Filipina, Rusia, Taiwan dan Thailand.
sumber
No comments: