Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berikrar meneruskan "perjuangan" beliau walaupun ditahan sejak 8 September, kerana didakwa membuat laporan polis di luar negara terhadap firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bercakap kepada media selepas dibebaskan dengan ikat jamin hari ini, Khairuddin berkata "perjuangan menegakkan kebenaran akan diteruskan hingga ke akhirnya".
"Misi ini akan disempurnakan" katanya sebaik sahaja muncul dari mahkamah rendah Kuala Lumpur selepas ahli keluarganya membayar wang ikat jamin.
Khairuddin bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai "misi" beliau.
Beliau berkata, keadilan kini terlaksana dan mengucapkan terima kasih kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin kerana menegakkan kedaulatan undang-undang.
"Mereka yang berkuasa boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahu tetapi paling penting adalah keputusan mahkamah dan saya berterima kasih kepada Allah" kata beliau sebelum dibawa pergi kenderaan pacuan 4 roda berwarna hitam.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid atas sokongan moral mereka.
Azman sebelum ini membebaskan dengan ikat jamin Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang yang didakwa cuba mensabotaj ekonomi Malaysia atas alasan pertuduhan itu bukan satu kesalahan keselamatan.
Katanya, prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak terpakai ke atas mereka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Perancis, United Kingdom, Switzerland, Hong Kong dan Singapura antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini – lokasi di mana Khairuddin membuat laporan terhadap kontroversi 1MDB.
1MDB adalah ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan pengkritik, diketuai Dr Mahathir, menuduh perdana menteri itu menggunakan Sosma untuk mendiamkan kritikan terhadap 1MDB.
sumber
No comments: