Panel bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mahu kerajaan laksana segera syor penambahbaikan Undang-undang Rasuah.
Pengerusinya, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, penambahbaikan itu perlu bagi memantau perjalanan SPRM serta memperkasakan dan mewujudkan persekitaran bebas rasuah di Malaysia.
"JKMR berpandangan bahawa meskipun beberapa syor dan cadangan sudah dikemukakan untuk penambahbaikan undang-undang pencegahan rasuah, tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan.
“Ini tahun ket-3 saya menjadi pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah... kami sudah mencadangkan perubahan-perubahan ke atas Akta SPRM 2009 bagi membawa penambahbaikan demi memperkukuhkan SPRM.
“Tetapi sehingga kini belum ada pembentangan di Parlimen,” kata beliau ketika berucap pada majlis Penyerahan Laporan Tahunan SPRM dan Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah 2014 di bangunan Parlimen hari ini.
“Saya tidak pasti sama ada perubahan ini akan dibawa ke Parlimen pada sesi ini (yang akan bermula 19 Oktober 2015), tetapi saya berharap pindaan-pindaan yang disyorkan sebelum ini akan dibawa sebelum penggal saya sebagai ahli Dewan Negara berakhir April 2016,” katanya.
Antara perkara yang pernah disyorkan ialah pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah Malaysia, aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah Perlembagaan Persekutuan, pindaan Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009, serta mewujudkan peruntukan liabiliti korporat dan salah laku penjawat awam.
Abu Zahar berkata, JKMR yang dianggotai ahli Parlimen komited untuk melihat perubahan dan penambahbaikan dilaksanakan bagi memperkasakan SPRM.
Badan yang dibentuk pada Januari 2009, katanya perlu menjadi sebuah suruhanjaya yang lebih bebas.
“Kami, ahli JKMR komited untuk melaksanakan perubahan supaya dapat mewujudkan persekitaran bebas rasuah di Malaysia.
"Justeru, syor dan cadangan sudah dikemukakan, dan kami berharap syor ini menjadi kenyataan dengan pindaan dibawa ke Parlimen," katanya.
Pada masa yang sama, Abu Zahar berharap SPRM akan terus bertindak dengan bebas, telus dan profesional sebagaimana yang diperuntukkan Akta SPRM 2009.
“Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed sudah memberi penjelasan mengenai isu semasa kepada saya dan ahli JKMR.
"Saya sudah meminta beliau supaya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bebas dan profesional.
“Kita perlu ikut undang-undang, kita perlu praktikal, serius dan tanpa membuat andaian-andaian awal yang tidak berasas.
"Bagaimanapun jika siasatan SPRM mendapati ada pihak yang melakukan kesalahan, kita tidak boleh berkompromi. JKMR akan menyokong tindakan-tindakan yang diambil oleh SPRM,” katanya.
Penyerahan kedua-dua Laporan Tahunan dan Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu daripada 5 panel bebas yang memantau perjalanan SPRM.
JKMR akan memeriksa Laporan Tahunan SPRM dan Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang memperincikan perjalanan suruhanjaya di bawah Akta SPRM 2009 sebelum mengeluarkan laporan tahunannya, yang akan dikemukakan kepada kerajaan dan ahli Parlimen.
Ahli JKMR terdiri daripada ahli Parlimen iaitu Abu Zahar; Dr Tan Seng Giaw, Senator Datuk Doris Sophia Anak Brodi, Datuk Irmohizam Ibrahim, Datuk Fauzi Abd Rahman, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Noraini Ahmad.
Gabungan antara komponen transformasi dan dasar Merakyatkan SPRM memberi nafas baharu kepada badan itu untuk merealisasikan visi dan misi yang direncanakan.
sumber
No comments: