Polis Selangor memulakan siasatan terhadap bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Tamby Chik berikutan posting Facebook beliau yang mendakwa Raja Muda Selangor menukar agamanya kepada Kristian.
Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Samah Mat berkata, Ibu Pejabat Polis Shah Alam akan mengendalikan siasatan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan terhadap Rahim. Ia sedang berjalan," kata Samah dalam teks mesej kepada The Malaysian Insider.
Dua hari lepas, Dewan Diraja Selangor menegaskan posting Rahim di laman sosial terhadap Tengku Amir Shah itu berunsur hasutan dan mempunyai unsur fitnah yang boleh menyebabkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap Raja Muda dan Sultan Selangor.
Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais berkata kenyataan Rahim itu satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab.
Menurut The Star Online, Rahim sudah memohon maaf 3 kali berhubung postingnya minggu lalu dan mengakui sumber dakwaannya itu merupakan laman web yang tidak berasas.
Hanafisah berkata tindakan Rahim dilakukan dengan sengaja dan dengan niat tidak jujur mempersoalkan keimanan raja muda sebagai seorang Islam.
Posting Rahim itu katanya, menyebabkan pelbagai respons dan komen daripada orang ramai terutamanya di kalangan umat Islam yang menunjukkan mereka marah dan kecewa dengan raja muda dan Sultan Selangor.
Dewan itu menyatakan kekesalannya yang Rahim tidak memastikan kesahihan posting yang dinyatakan sebagai portal asing sebelum menyatakan pandangan beliau.
sumber
No comments: