DAP hari ini mempersoalkan sama ada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
Datuk Hasan Arifin mempunyai agenda menyingkirkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada jawatankuasa bi-partisan itu.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, jika ini dilakukan Hasan, kredibilitinya sebagai pengerusi PAC akan terjejas.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan, apakah Pua menjadi sasaran kerana kelantangannya membongkarkan salah laku syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?
“Adakah Hasan bertindak mengikut agenda yang sudah ditetapkan untuk menyingkirkan Pua daripada PAC," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Lim berkata bukan rahsia apabila "penyokong tegar" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu Pua dibuang daripada PAC dengan menuduh beliau melanggar etika jawatankuasa tersebut.
Katanya, bekas pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed sendiri mengesahkan sumber kenyataan diberikan Pua bukan daripada hasil laporan siasatan jawatankuasa berkenaan.
Pendapat yang sama turut dikongsi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berkata Hasan sepatutnya memberi tumpuan kepada siasatan 1MDB dan bukannya terhadap Pua.
"Mereka patut siasat 1MDB, siasat Jho Low yang terlibat dalam 1MDB, bukannya Pua. Beliau tidak terlibat tapi 1MDB yang terbabit dalam skandal negara.
"Yang patut dikenakan tindakan itu ialah kepada 1MDB dan bukannya Pua," katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan yang dibuat pengerusi PAC baharu tadi.
"Saya tidak terlalu bimbang (keluar daripada PAC) kerana sudah menjangkakan ia memang akan berlaku kerana dari dulu memang ada yang inginkan saya keluar," katanya.
Pua turut mengalu-alukan pelantikan pengerusi PAC baharu dengan menyatakan tidak sabar untuk bekerjasama bersama Hasan.
"Mari kita jangan memberi prasangka yang negatif.
"Berdasarkan kenyataannya semalam beliau berkata mahu 1MDB disiasat dengan segera, jadi saya rasa itu perkara positif, saya tidak sabar bekerjasama dengan beliau," katanya.
sumber
No comments: