Masalah jerebu rentas sempadan yang kini melanda Asia Tenggara berikutan pembakaran hutan di Indonesia dijangka merebak ke kawasan-kawasan baru dan berlarutan sehingga tahun depan.
Menurut Reuters yang memetik beberapa pakar, ini berikutan kegagalan pihak berkuasa untuk memadamkan kebakaran berkenaan sehingga menyebabkan peningkatan jumlah titik panas di bahagian timur Indonesia.
Saintis dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa, Herry Purnomo berkata, titik panas kini sudah sampai ke wilayah Papua, sebuah kawasan yang biasanya mengelakkan pembakaran secara meluas.
Seorang pegawai kanan di sebuah syarikat yang aktif di kawasan hutan Indonesia pula berpendapat krisis jerebu mungkin berterusan sehingga Mac tahun depan.
Indonesia biasanya mengalami musim hujan pada Oktober dan November, namun tahun ini negara itu dijangka berdepan fenomena El Nino sederhana yang membawa musim kering sehingga Disember. Keadaan itu bakal menyukarkan usaha mengawal kebakaran.
Satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) juga dilapor mengesan 1,729 amaran kebakaran di Indonesia pada Rabu lalu. Ia adalah jumlah terbesar direkodkan dalam sehari sepanjang dua tahun lalu.
Kira-kira separuh daripada kebakaran yang dikesan minggu lalu berlaku di kawasan tanah gambut yang kaya dengan karbon. Sebahagian besar adalah di Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Sulawesi dan Papua.
sumber
No comments: