» » Najib Razak dan kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa harga minyak dinaikkan bermula 1 Oktober 2015


Kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen berkuatkuasa malam tadi memang memeranjatkan.

Mulai 12 tengah malam tadi sehingga akhir Oktober ini, para pengguna domestik perlu membayar RM2.45 bagi seliter RON97, RM2.05 untuk RON95 dan diesel RM1.90.

Sejak petang semalam kebanyakan penganalisis pasaran tempatan meramalkan harga petrol dan diesel akan diturunkan 10 sen namun sebaliknya yang berlaku.

Jangkaan penurunan harga petrol dan diesel itu, kata penganalisis-penganalisis selari dengan penyusutan harga global emas hitam itu.

Sepanjang bulan lalu, harga minyak mentah dunia tidak pernah naik melepasi AS$50 setong disebabkan bekalan yang tinggi, permintaan kurang, selain kelembapan ekonomi China telah mendorong kepada penyusutan kepada harga komoditi itu.

Rakyat Malaysia pula dimaklumkan setiap hari bahawa kejatuhan prestasi ringgit dan ketidaktentuan pasaran saham disebabkan faktor-faktor luaran termasuk kejatuhan harga komoditi.


Jadi, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen, ramai tertanya-tanya mengapa ia berlaku?

Kerajaan telah melaksanakan mekanisme apungan bebas pada 1 Disember lalu dengan memantau pergerakan harga minyak dunia mulai setiap 1 hingga hari bulan setiap bulan, sebelum penetapan harga baru pada akhir bulan tersebut.

"Melalui mekanisme ini, kita faham kalau harga minyak dunia turun, maka harga yang perlu kita bayar di pam juga turun.

"Tetapi apabila naik 10 sen semalam, memang memeranjatkan sebab kita menggunakan mekanisme apungan bebas dan kurang risiko turun naik berbanding kaedah lindung nilai," kata seorang penganalisis sekuriti kepada MalaysiaGazette.

Pada 28 September lalu, harga minyak bagi dagangan Asia menyusut berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia yang lemah.

Minyak mentah hadapan Brent didagang pada AS$48.18 setong dan West Texas Intermediate pula AS$45.31 setong. Harga hadapan minyak mentah pada tarikh itu telah menyusut lebih 10 peratus sejak akhir bulan Ogos.

Malah, sepanjang suku ini harga minyak mentah dunia mengalami kerugian 24 peratus.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menjelas dan memaklumkan kewajaran kenaikan yang dibuat, jika tidak, rakyat tertanya-tanya, akhirnya menimbulkan pelbagai persepsi tidak baik.

"Ini kerana rakyat dan pengguna berpegang kepada pelaksanaan mekanisme apungan bebas iaitu jika harga pertrol dunia naik, harga dipam akan dinaikkan dan kalau harga turun, kerajaan akan menurunkannya.

"Dan, ramai tidak nampak penyusutan nilai ringgit tidak boleh dikaitkan dengan kenaikan petrol,'' tambah beliau.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .