Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan hari ini, beliau tidak pernah menentang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tetapi hanya tidak bersetuju dengan tindakan Putrajaya menggunakan akta itu bagi kes yang tidak mengancam keselamatan negara seperti yang melibatkan bekas anggota Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya.
Timbalan presiden Umno itu berkata pendirian beliau selari dengan jaminan kerajaan ketika akta tersebut digubal iaitu ia tidak akan disalah gunakan untuk tujuan lain, terutamanya yang bermotif politik termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat bersuara dan memberikan pandangan.
"Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan Sosma yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Khairuddin dan Matthias Chang.
"Tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan Sosma.
"Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin?" kata bekas timbalan perdana menteri itu dalam satu posting di Facebook rasmi beliau hari ini.
Muhyiddin, yang digugurkan daripada Kabinet hujung Julai lalu, dikritik kerana menyertai barisan bekas pemimpin dan veteran Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam satu sidang media pada Isnin, mengecam penggunaan Sosma oleh Putrajaya terhadap pengkritik kerajaan.
Berikutan itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan "mengingatkan" Muhyiddin beliau yang berperanan memastikan semua wakil rakyat mengundi untuk Sosma semasa ia diluluskan di Parlimen, atas kapasitinya sebagai ketua whip.
Muhyiddin berkata, beliau membaca beberapa kenyataan yang dibuat segelintir pihak yang mendakwa beliau membantah Sosma menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin itu.
"Kononnya ia bercanggah dengan pendirian saya menyokong Sosma semasa di dalam Kabinet dan ketika Rang Undang-Undang Sosma dibentangkan di Parlimen.
"Pendirian saya tidak pernah berubah. Saya menyokong Sosma untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam."
Dalam kenyataannya hari ini, beliau turut mempertahankan Khairuddin dan Chang, mengatakan mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin.
"Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah?
"Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?
"Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap?" soalnya dalam posting Facebook itu.
Khairuddin dan Chang didakwa di mahkamah pada Isnin kerana tindakan mereka membuat laporan dengan pihak berkuasa luar negara, mendesak siasatan dilakukan terhadap 1MDB, dianggap satu bentuk sabotaj kepada negara.
Muhyiddin dalam postingnya bertanya, adakah pemimpin Umno harus berdiam diri dalam hal tersebut dan "bersekongkol dengan para petualang".
"Janganlah dibiarkan jiwa perjuangan yang mengalir dalam darah setiap pejuang Umno dibeli dengan harga yang murah.
"Adalah menjadi tanggungjawab setiap pejuang Umno untuk bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.
"Barulah Umno akan disegani dan dihormati oleh rakyat seluruhnya dan diberkati perjuangannya oleh Allah," tulisnya.
sumber
No comments: