Susulan penafian SRC International Sdn Bhd mereka pernah menyalahgunakan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) semalam, PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menjelaskan segala persoalan yang masih belum terjawab.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mempersoalkan, apa hasil siasatan polis terhadap kebocoran maklumat siasatan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu yang dilancarkan Ogos lalu.
"Persoalan pokok ialah perdana menteri menerima ‘derma’ daripada siapa lagi ke dalam akaun peribadinya selain RM2.6 bilion yang pendermanya masih menjadi misteri," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan waktu dan masa syarikat tersebut membela diri lebih-lebih lagi apabila semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat, tidak sesuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab soalan sama ada beliau menerima "derma" daripada SRC International atau tidak, kerana SPRM masih menyiasat kes tersebut.
Tuan Ibrahim berkata, lebih pelik lagi apabila kenyataan SRC International itu berkait dengan kertas pertuduhan terhadap Najib yang dikatakan palsu malah gambar rajah dana didakwa disalurkan daripada syarikat tersebut ke dalam akaun perdana menteri sudah dibangkitkan sejak 30 Julai lalu.
"Selepas 2 bulan setengah, SRC International tampil dengan berkata ia menjalankan siasatan dalaman dan percaya dakwaan itu berdasarkan kepada dokumen palsu.
"Kenyataan ini bernada pelik, kerana Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hanya memerlukan sehari (pada 31 Julai) sejurus kertas dakwaan itu diterbitkan Sarawak Report untuk menafikan kertas dakwaan terhadap PM itu adalah palsu," katanya.
Tuan Ibrahim berkata, pada ketika itu SRC International langsung tidak bersuara.
"Malah pada 22 Ogos, SPRM mengumumkan kegagalan mengesan 3 individu iaitu Low Taek Jho, Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Arif Kamil serta Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yasin bagi tujuan siasatan terhadap dakwaan RM42juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
"Apakah dengan kenyataan SRC International bermakna Nik Faisal sudah bersedia kembali menghadapi siasatan SPRM?,” soal timbalan presiden PAS itu.
sumber
No comments: