Lebih daripada 50 orang daripada parti pembangkang dan pelbagai kumpulan hari ini mengadakan satu lagi demonstrasi di plaza tol PJS 2 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) membantah kenaikan kadar tol baru-baru ini.
Ahli dan penyokong PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersama kumpulan seperti Jingga 13, Otai Reformis dan Pro Rakyat juga menggesa agar tol PJS 2 itu dimansuhkan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian berkata, walaupun tidak ada kenaikan di plaza tol itu, 2 plaza tol lagi iaitu Lembah Pantai dan PJS 5, menyaksikan peningkatan daripada RM1.60 kepada RM2.30.
"Tol PJS 2 terletak di jalan sedia ada iaitu Jalan Klang Lama, tetapi selepas jalan diperbesarkan, mereka meletakkan tol di sini dan ini tidak adil kepada penduduk yang tinggal di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas protes itu.
Beliau berkata, kenaikan kadar di plaza tol Lembah Pantai dan PJS 5 membebankan penduduk di kawasan itu, yang selama ini mengalami kesesakan lalu lintas di situ.
"Penduduk Petaling Jaya Selatan tidak dapat lari dari membayar tol, kita perlu membayar setiap hari setiap kali kita pergi kerja," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan Haniza Talha yang turut hadir berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melanggar janji yang dibuatnya pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013 yang tidak akan ada kenaikan tol.
Beliau berkata, orang ramai juga takut dengan kesan daripada kenaikan kadar tol itu, contohnya seperti kenaikan harga barang.
"Itulah kesan dominonya, kerana sekali anda menaikkan tambang tol, peniaga akan menggunakan ini sebagai alasan untuk menaikkan harga, dan sehingga hari ini kerajaan tidak berdaya menghalangnya.
"Sebab itu, rakyat perlu menunjukkan kuasa mereka untuk menggantikan kerajaan sedia ada dengan satu kerajaan yang lebih bertanggungjawab."
Kadar tol di 12 lebuh raya di Lembah Klang meningkat pada Khamis.
Lebuh raya yang terlibat adalah Kuala Lumpur-Karak Expressway; Maju Expressway; Lebuhraya SILK, Kajang; Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang; Terowong Smart; Lebuhraya KL-Kuala Selangor; Lebuhraya Sungai Besi; Lebuhraya Pantai Baru; Lebuhraya Kajang Seremban; Lebuhraya Damansara Puchong; Skim Barat Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint) Highway; dan Lebuhraya Cheras-Kajang.
PLUS Malaysia Bhd, bagaimanapun, mengekalkan kadar tol 8 lebuh rayanya.
sumber
No comments: