» » Kejatuhan Ringgit Malaysia seksa peniaga kecil dan sederhana di Malaysia


Pengusaha industri kecil sederhana (IKS) merasakan kesan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan sesetengah daripada mereka mengalami peningkatan kos sebanyak 10% hingga 30%.

Tinjauan The Malaysian Insider menyaksikan kebanyakannya menghadapi peningkatan kos barang terutamanya pengusaha yang menggunakan barang diimport dari luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Mirage Resources Sdn Bhd Kamarul Ariff Abd Karim berkata disebabkan kejatuhan nilai ringgit, kos barang produk busana muslimah Zawara meningkat hampir 30%.

Kamarul berkata, syarikat yang mempunyai lebih 10 francais di seluruh negara itu terpaksa mengurangkan margin keuntungan demi kelangsungan jualan.

"Apabila ringgit jatuh, kos barang produk kami akan meningkat. Ia disebabkan kesemuanya kami import dari luar negara.

"Franchisor akan cuba serap sebanyak mungkin dan kita juga terpaksa naik harga jualan namun tidak boleh terlalu mendadak," katanya kepada The Malaysian Insider.

Meskipun begitu, strategi tersebut mempunyai kesan baik dan buruknya.

"Kesannya, jualan menurun kerana produk makin mahal.

“Oleh itu, kita lakukan kedua-duanya iaitu naikkan harga sedikit untuk tampung kos operasi dan serap sedikit supaya kenaikan tidak ketara," katanya.

Kurangkan kos pengiklanan
Menurut Kamarul, meskipun margin keuntungan menurun 20% dalam 2 bulan kebelakangan ini, pihaknya mempunyai strategi sendiri untuk mengekalkan prestasi perniagaan.

"Kira serap kerugian sebanyak mungkin dan mengandaikan nilai ringgit kembali pulih selepas beberapa bulan.

"Zawara juga meningkatkan kuantiti produk sama ada jubah, kasut dan tudung sekali ganda untuk mendapatkan jualan lebih menguntungkan.

"(Kami tambah) 20,000 kuantiti produk seminggu berbanding dahulu 10,000," katanya.

Katanya, peruntukan iklan yang kurang berkesan seperti majalah dan televisyen terpaksa dihentikan sementara perniagaan serta jualan kembali stabil.

Pengasas Usahawan Online Riaz Anggun berkata, kos mengambil bahan tekstil dari luar negara masih murah berbanding di Malaysia.

Pemiliknya Azlina Ahmad berkata, walaupun kos tekstil meningkat 20% jualan masih mendatangkan keuntungan.

"Masih murah kalau nak banding beli di Malaysia. Contohnya kain di Thailand semeter RM4.50 disebabkan kejatuhan nilai ringgit, harga naik jadi RM5.50.

“Kalau saya beli di Malaysia semeter hampir RM10," katanya kepada The Malaysian Insider.

Rias Anggun turut mengambil langkah mengurangkan kos lain seperti pengiklanan dan meningkatkan kuantiti produknya.

Ringgit yang kini sudah melepasi paras RM4 berbanding dolar AS turut menjejaskan pembekal biskut dan kedai kek.

Minimumkan kos pembungkusan
Syarikat Cloud Cookies yang beroperasi di Ampang misalnya menghadapi masalah kenaikan harga barang seperti mentega dan kekacang yang diimport dari luar negara.

"Perniagaan kecil akan terkesan disebabkan kenaikan harga barang seperti mentega dan kacang almond.

“Seperti sekarang harga meningkat daripada RM3.50 ke RM5.90.

"Apabila kita banyak kos maka harga produk akan meningkat dan sedikit sebanyak mengurangkan margin keuntungan dalam 10%," kata Pengarah Syarikat Cloud Cookies Eniliana Rayudin.

Bagi Cloud Cookies yang menjadi pembekal biskut di Semenanjung Malaysia, cara terbaik untuk mengatasi masalah kerugian ialah dengan meminimumkan kos produksi dari segi pembungkusan.

Pemilihan bungkusan ini menurutnya sedikit sebanyak beri kesan kepada imej dan identiti sesebuah syarikat.

"Tetapi kami terpaksa untuk memastikan kos kami lebih murah dalam menghadapi kenaikan harga barang tidak menentu," katanya.

Produk kecantikan Jannah Lawwa terpaksa menanggung kerugian apabila kos meningkat hampir 30% dan pemiliknya Jannah Suzanna Daves mengatakan ia kerana semua produk datang dari luar negara.

"Ia beri kesan sangat-sangat. Semua jadi tinggi termasuk kos kerana bahan produk kami dari luar dan kami memang terasa sangat dengan nilai ringgit tidak menentu.

"Tetapi untuk memastikan jualan sentiasa ada, saya terpaksa tanggung sedikit kerugian untuk pastikan pelanggan tidak lari," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .