» » Kalau Khir Toyo boleh didakwa dan dipenjarakan jadi mengapa perkara yang sama tak boleh dilakukan terhadap Najib Razak ?


Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata beliau tidak melakukan kesalahan rasuah. Betullah tu.

Dalam sistem penghakiman kita, adalah hak mutlak yang tertuduh untuk menafikan tuduhan ke atasnya dengan mengaku tidak bersalah (plead not guilty).

Malah orang yang bersalah dan bersedia mengaku salah pun diingatkan (cautioned) hakim jangan mengaku salah. Tetapi kalau hendak mengaku juga, dia akan diingatkan dan diberi amaran padah pengakuan salahnya itu.

Dalam sistem kehakiman Inggeris yang menjadi asas kehakiman kita, penghakiman hanya boleh dibuat mahkamah. Hanya mahkamah berhak menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Malah keadilan (justice) memihak kepada tertuduh (the accused). Mula-mula sekali, tertuduh tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty). Jadi Khir Toyo “tidak bersalah” sehinggalah “dibuktikan bersalah”.

Beban mutakhir di bahu pihak pendakwa. Pendakwa wajib membuktikan “tanpa sebarang keraguan” (beyond reasonable doubt) akan kesalahan tertuduh. Maksudnya tanpa syak wasangka.

Pihak pembela pula hanya perlu mewujudkan keraguan yang berpatutan (reasonable doubt) bagi membebaskan anak guaman mereka daripada sabit kesalahan.

Jadi walaupun Khir Toyo “bersumpah” beliau tidak bersalah, pihak pendakwa berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan beliau melakukan jenayah yang dituduh, manakala peguam beliau gagal menimbulkan keraguan yang berpatutan.

Sekarang sahlah kesalahan beliau. Penafian beliau tidak bermakna lagi di segi undang-undang. Maka dengan itu, Khir Toyo dipenjarakan selama 12 bulan dan harta yang terlibat dirampas.

Dengan itu juga, jadilah beliau menteri besar Selangor yang kedua dipenjarakan kerana rasuah dan menjadi antara segelintir pemimpin kanan kerajaan yang didapati bersalah melakukan rasuah.

Natijahnya:

1. Sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Khir Toyo dibuktikan terlibat dengan rasuah.

2. Pemimpin politik masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut undang-undang negara.

3. 0rang baik dan berprofil rendah menjadi alpa, bongkak dan hilang akal apabila mendapat kuasa. Khir Toyo boleh dikatakan tidak dikenali sebelum dilantik entah dari mana menjadi menteri besar pada tahun 2000.

4. Pemenjaraan Khir Toyo memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata, iaitu tidak ada sesiapa pun berada di atas daripada undang-undang (above the law).

5. Kesabitan kes Khir Toyo memberi makna yang istimewa dan tersendiri dalam kaitan dengan penyiasatan dalam negara dan antarabangsa membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone) Najib Razak.

6. Ada beberapa persamaan di antara kes rasuah Khir Toyo dengan “derma” RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Mohd Najib, khususnya alasan politik dan dakwaan rakyat jelata tidak rugi apa-apa.

7. Tidak seperti Khir Toyo yang menafikan keterlibatannya, Najib terus berdiam diri, malah tidak menafikan kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu, sebaliknya para penyokong beliau mendakwa wang itu “derma” daripada seorang dermawan misteri Arab.

8. Para peguam Najib juga masih berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap The Wall Street Journal kerana mendedahkan hal itu walaupun mengeluarkan ancaman itu hampir tiga bulan lalu (8 Julai).

9. Pemenjaraan Khir Toyo pastinya menaikkan tahap kebimbangan mereka yang terbabit atau dikaitkan dengan skandal 1MDB dan tabung peribadi Najib.

Anekdot 1: Jumpa Najib buat kali pertama pada tahun 1977 untuk temubual bagi pihak akhbar Business Times sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Ahli Parlimen Pekan. Berbual mengenai beliau berjalan keluar daripada bayang raksasa bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Bayang raksasa adalah padanan tajuk filem Kirk Douglas (bapa Micheal Douglas) “Cast A Giant Shadow” (1966).

Anekdot 2: Jumpa Khir Toyo di Pejabat SUK Selangor, Shah Alam ketika beliau di puncak kuasa. Beliau dan kakitangannya berasa saya terlalu kritikal terhadap beliau. Waktu itu sudah timbul cakap-cakap yang tidak menyenangkan mengenai tindak-tanduk beliau. Saya mengingatkan Khir Toyo agar berhati-hati sambil merujuk kepada “sumpahan” (curse) jawatan MB Selangor.

Akhirulkalam, bukan mudah menjadi saksi kepada sejarah dalam suasana di mana sejarah diabai dan dinafikan!



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .