Putrajaya digesa menangani kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika mahu ekonomi negara kembali stabil, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini ketika negara sedang berdepan kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam sejarah dan ketaktentuan ekonomi.
Muhyiddin, pengkritik utama syarikat pelaburan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata 1MDB merupakan krisis terbesar dihadapi negara ketika ini.
"1MDB krisis terbesar melanda negara, sudah heboh. Itu yang saya sebut dalam ucapan awal tadi mengenai soal keyakinan, ketelusan, integriti, isu pokok, nilai sejagat.
"Ia mengugat imej dan juga integriti pemimpin kita, itu terjejas," kata Muhyiddin semasa menghadiri majlis minum petang anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEM) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.
Bagi Muhyiddin, meskipun negara mempunyai fundamental ekonomi yang kukuh dan memiliki infrastruktur terbaik dan dasar ekonomi pro-perniagaan, kestabilan politik juga penting.
"Kalau situasi fundamental politik tidak diambil kira, untuk menangani masalah ekonomi yang kita hadapi, saya kira itu pandangan yang tidak berapa tepat.
"Maksud saya, sekarang sudah timbul satu suasana seolah-olah yang membawa implikasi dan kesan satu kepada keyakinan. Apa yang orang kata trust defisit dalam sistem di negara kita," katanya.
Muhyiddin berkata isu dihadapi kerajaan sekarang adalah membabitkan keyakinan dan ketelusan di mana ia menjadi keutamaan untuk pelabur datang melabur ke Malaysia.
"Suasana ini menekan apabila orang mula persoalkan ke mana negara kita, ramai yang bertanya apa sudah jadi kepada negara kita.
"Ini melibatkan soal integriti, keyakinan, ketelusan dan kepercayaan, jika tiada kepercayaan maka tiada keyakinan terhadap apa yang berlaku dalam iklim dalam negara kita, maka orang akan ambil sikap tidak datang, pelabur tidak datang.
"Malah saya ada data menunjukkan pelaburan negara kita sudah agak kurang daripada yang lepas, nak datang ke sini dahulu pun harus berfikir berkali-kali kerana tidak tahu situasi politik yang kurang stabil, mereka tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh setahun dua akan datang, dan disebabkan beberapa isu," katanya.
sumber
No comments: