» » Gesa kerajaan naikkan lagi BR1M dan beri kredit cukai GST dalam Bajet 2016


Menjelang pembentangan Belanjwan 2016 pada 23 Oktober depan, Gerakan menggesa Putrajaya agar meningkatkan jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dianggap terus relevan dalam suasana ekonomi masa kini.

Gesaan itu dibuat Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sewaktu berucap di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 di Shah Alam, pagi ini.

"Menentang kritikan terhadap BR1M, Gerakan masih merasakan BR1M adalah tepat, sama seperti skim-skim yang serupa turut dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan Hong Kong.

"Malah, Gerakan menggesa supaya bayaran BR1M dinaikkan, di samping langkah-langkah yang lebih berkesan dilaksanakan dengan tujuan untuk mengawal dan mengurangkan kenaikan kos," katanya.

Mah turut mencadangkan Putrajaya agar memberi kredit cukai pendapatan bagi menyerap kesan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Sepatutnya kredit cukai yang lebih tinggi diberikan kepada keluarga berpendapatan sederhana khususnya mereka yang mempunyai anak. Kami turut mencadangkan agar semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan diberikan potongan cukai bagi bayaran GST sama seperti potongan cukai untuk insurans, KWSP dan lain-lain perbelanjaan.

"Ini akan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga berpendapatan sederhana, sementara BR1M menyediakan bantuan dalam bentuk wang tunai yang lebih diperlukan untuk golongan berpendapatan rendah," katanya.

Mah turut menggesa Putrajaya agar mempertimbangkan cadangan Gerakan berkenaan kadar gaji di negara ini menjelang 2020.

"Gerakan membentangkan beberapa cadangan untuk Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan Bajet 2016.

"Antaranya adalah menggesa pengenalan skim 'gaji top-up' dengan gaji semua rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 bakal digandakan gaji mereka menjelang 2020 dengan kos kenaikan ini ditanggung dan dikongsi bersama kerajaan dan majikan.

"(Ini) dengan syarat pekerja tersebut mesti komited kekal dengan majikan serta menunjukkan peningkatan produktiviti melalui beberapa skim penilaian KPI," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .