Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) mendesak pihak bank dan insitusi kewangan lain jangan mengaibkan peminjam yang lewat membuat bayaran.
Presidennya, Rosland Mohd. Arif berkata, pihaknya menerima banyak aduan orang ramai yang kesal dengan taktik memalukan peminjam oleh pihak bank tersebut.
“Perkara ini dilakukan ejen pengutip hutang yang dilantik bank. Mereka akan menghubungi saudara-mara atau tempat kerja peminjam.
“Mereka seolah-olah mahu menyampaikan mesej kepada saudara atau rakan peminjam kononnya peminjam cuba lari daripada bayar hutang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rosland berkata, perbuatan dilakukan oleh ejen-ejen pengutip hutang itu satu perbuatan yang sangat tidak bermoral dan bertanggungjawab kerana ia menekan hidup seseorang.
Dakwanya, taktik itu menyebabkan ada peminjam jadi tertekan kerana malu untuk berhadapan dengan saudara-mara dan rakan sekerja sekali gus menjejaskan hubungan dan prestasi kerja mereka.
Tambahnya, taktik mengaibkan peminjam seperti itu juga tidak sepatutnya berlaku kerana bukan semua penghutang yang mahu lari daripada membayar hutang dengan pihak bank.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, 4PM berjaya membantu ramai individu menyelesaikan kes hutang tertunggak yang nyaris menyebabkan mereka bankrap dan harta benda peminjam dilelong.
“4PM sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kepentingan golongan peminjam akan mewakili peminjam untuk berunding dengan pihak bank bagi mendapatkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Orang ramai yang memerlukan bantuan 4PM diminta menghubungi talian 03-238 67835/019-2531000/019-3971000/011-1331 3155 atau melayari laman web www.pppqpmalaysia.weebly.com.
No comments: